Mungkinkah tiada lagi kelibat Bergson da Silva apabila liga kembali bersambung?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Mungkinkah kelibat penyerang prolifik Johor Darul Takzim, Bergson da Silva sudah tidak dapat lagi disaksikan apabila saingan Liga Super kembali bersambung pada bulan Julai nanti?

Itu persoalan yang timbul berikutan kontrak pinjaman selama empat bulan pemain kelahiran Brazil itu akan tamat pada penghujung bulan depan, sekaligus membawa kepada kemungkinan dia akan kembali ke kelab asalnya Fortaleza.

Belum ada kata putus mengenai masa depan Bergson da Silva yang setakat ini telah menjaringkan 11 gol dalam 11 penampilan bersama Johor Darul Takzim namun apa yang pasti Benjamin Mora tidak mahu kehilangan pemain itu walaupun telah menokok seorang lagi pemain di barisan serangan iaitu Guilherme De Paula.

“Bergson merupakan penjaring terbanyak JDT, dia menjaringkan gol dalam hampir setiap perlawanan. Dia amat penting buat saya dan sebagai jurulatih, saya sentiasa mahukan pemain seperti ini tetapi ia terpulang kepada pihak pengurusan dan pengarah sukan dan pemilik kami (Tunku Ismail Sultan Ibrahim).

“Mereka akan menentukannya tetapi sudah pasti kami memerlukan Bergson kerana dia aset yang bagus buat saya dan kelab ini,” kata Benjamin Mora kepada Nadi Arena.

Sebagai rekod, Bergson da Silva dibawa masuk skuad harimau selatan pada saat akhir, iaitu dua hari sebelum jendela perpindahan pertama Liga Super 2021 ditutup.

Pemain berusia 30 tahun itu mengisi kekosongan ditinggalkan Jonathan Herrera yang terlebih dahulu didapatkan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu bagi menggantikan Diogo Luis Santo yang menyertai kelab Thailand, BG Pathum United.

Ternyata, Bergson da Silva tidak mengambil masa lama untuk memenangi hati penyokong dengan sentuhan klinikal di depan gol, sekaligus membuktikan dia bukanlah pemain import tangkap muat.

Tidak diturunkan dalam dua perlawanan pertama, Bergson da Silva membuat penampilan sulung ketika menentang Uitm FC dan membuka akaun jaringannya pada perlawanan itu.

Secara keseluruhan dalam 11 perlawanan yang dia bermain, dia cuma gagal meledak jaringan dalam dua perlawanan sahaja iaitu menentang Perak FC (2-2), Terengganu FC (0-1) dan Kuala Lumpur (1-1) dan ketika ini dilihat calon hangat untuk mencabar Ifedayo Olusegun bagi anugerah kasut emas penjaring terbanyak.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.