“Nadi Christian Eriksen terhenti, ia pengalaman mengerikan” – doktor pasukan

Foto kredit : Reuters
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Doktor pasukan Denmark, Martin Boesen menyifatkan ia pengalaman mengerikan selepas mendapati nadi Christian Eriksen terhenti ketika pasukan perubatan bertungkus-lumus bagi menyelamatkannya di hadapan pemain dan penonton yang berada dalam keadaan trauma.

Pemain tengah Inter Milan itu tiba-tiba rebah pada minit ke-43 perlawanan Euro 2020 antara Denmark dan Finland dipercayai kerana cardiac arrest dan laporan mengatakan jantungnya terhenti dalam lima minit.

Pasukan perubatan terpaksa memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada Christian Eriksen dan dia kini dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital di Copenhagen.

“Kami dipanggil ke dalam padang apabila Christian rebah, ketika itu sangat jelas yang dia tidak sedarkan diri.

“Apabila saya tiba dia bernafas dan saya dapat berasakan nadinya, tetapi secara tiba-tiba ia berubah dan seperti yang semua nampak kami mula memberikannya CPR.

“Bantuan diberikan sangat pantas daripada pasukan perubatan, kakitangan pasukan dan kerjasama semua pihak dengan kami melakukan apa yang perlu dilakukan. Akhirnya, kami berjaya mendapatkan Christian kembali,” kata Martin Boesen.

Sementara itu, pakar kardiologi menyatakan Christian Eriksen tidak mungkin lagi boleh bermain bola sepak selepas insiden yang berlaku.

Walaupun beransur pulih, namun timbul kebimbangan mengenai tahap kesihatan serta perjalanan kariernya selepas ini.

Pakar perundingan kardiologi NHS, Dr Scott Murray mendakwa, Itali terkenal dengan rekod tidak membenarkan pemain yang mengalami masalah jantung untuk terus beraksi sekali gus bermakna masalah dialami Eriksen itu mungkin akan menamatkan kariernya di Serie A.

“Ia mungkin penamat kepada kariernya. Itali tidak membenarkan orang ramai menyertai acara sukan jika mereka mempunyai masalah jantung. Ia terkandung dalam undang-undang.

“Mereka sudah melakukannya sejak sekian lama dan dapat mengurangkan angka kematian akibat serangan jantung dalam sukan daripada tiga peratus kepada sifar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand memuji barisan pemainnya apabila mereka bersetuju kembali ke padang dan menamatkan perlawanan biarpun selepas melalui pengalaman yang mengerikan.

Denmark bagaimanapun tewas 0-1 dalam aksi pertama Kumpulan B itu.

Foto : Reuters

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.