Nafuzi Zain akui dia mungkin tidak ke mana jika bukan kerana Irfan Bakti

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain bolehlah dilabel sebagai salah seorang jurulatih muda yang sedang meningkat naik dan mencipta nama dalam arena bolasepak tempatan.

Musim 2020 adalah musim penuh pertamanya mengendalikan Terengganu FC, di mana dia berjaya untuk membawa pasukan itu menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga.

Sambil menyifatkan ia adalah tugas cukup mencabar untuk mengharungi Liga Malaysia dalam situasi pandemik COVID-19, pengendali kelahiran Kelantan ini berterima kasih kepada jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim yang mana menurutnya banyak memberi tunjuk ajar selama mereka bekerjasama bermula tahun 2017 sehingga 2019.

Ketika itu Nafuzi memegang jawatan selaku penolong jurulatih Terengganu FC sebelum mengambil alih posisi Irfan Bakti sebagai ketua jurulatih pada pertengahan musim 2019.

“Apa yang saya ada sekarang ini, semuanya bermula daripada Irfan Bakti di mana perjalanan karier saya daripada Liga Premier sehingga Terengganu FC layak ke Liga Super pada tahun 2018, saya bersama-sama dengan beliau.

“Semua ini adalah jasa dan budi Irfan selama saya menjadi penolong jurulatih dengannya sejak 2017 sehingga beliau letak jawatan pada pertengahan 2019 dan beliaulah yang membawa saya ke kancah Liga Super sebelum ini.

“Sebelum beliau meletak jawatan, Irfan percaya saya akan mampu untuk menjaga pasukan ini dan daripada situlah saya terus mendapat peluang untuk mengemudi pasukan sebagai ketua jurulatih.

“Jadi, saya gunakan peluang sebaik mungkin untuk bantu pasukan berada di tahap lebih baik musim ini, dan saya rasa kalau Irfan tidak beri peluang kepada saya untuk bekerjasama dengannya bermula tahun 2017, saya mungkin tidak akan ke mana”, jelas Nafuzi Zain.

Sementara itu, bercakap mengenai peluang pasukannya di Piala Malaysia 2020 yang akan berlangsung bermula 6 November, Nafuzi berpendapat pasukannya mempunyai kredibiliti untuk layak ke final, dalam masa sama mengharapkan tuah undian.

“Tiada pusingan peringkat kumpulan, jadi mahu atau tidak, perlawanan pertama itu sangat penting dan selepas kita tahu siapa akan jadi lawan kita nanti, barulah saya boleh merancang dengan lebih baik kerana sudah tentu kita juga akan tahu corak perlawanan yang akan ditampilkan oleh lawan itu,” katanya.

Kali terakhir Terengganu FC ke final adalah pada 2018 ketika di bawah bimbingan Irfan Bakti, tewas perlawanan tersebut kepada Perak menerusi penentuan penalti.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.