Nafuzi Zain Akur Jika Tiada Tawaran Kontrak Baru

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kontrak Nafuzi Zain bersama Terengganu FC akan tamat pada 30 November ini dan sehingga kini pengurusan belum menawarkan kontrak baru kepadanya.

Adakah Terengganu FC hendak tunggu kontrak tamat baru bincang kontrak baru (biasalah, ini kan Liga Malaysia) atau sememangnya mereka tiada hasrat untuk menyambung khidmat pengendali dari Kelantan itu?

Bagi Nafuzi Zain sendiri, dia mahu kekal membimbing pasukan itu buat musim ketiga pada 2022 tetapi menyerahkan kepada pengurusan untuk membuat penilaian dan akur seandainya sudah tiada jodoh bersama Terengganu FC.

“Kontrak saya tamat 30 November ini dan masih menunggu tawaran daripada TFC sebelum dapat menentukan halatuju seterusnya.

“Apapun terserah kepada pihak pengurusan tapi selagi TFC memerlukan khidmat saya tiada masalah untuk meneruskan sumbangan.

“Ketika ini saya masih ada kontrak dengan TFC tapi jika ada kelab yang sudi menawarkan kontrak kepada saya, kemungkinan saya akan berunding dengan mana-mana kelab yang sudi mendapatkan khidmat saya pada musim depan.

“Memang keutamaan saya sudah tentulah mahu terus bimbing TFC kerana selepas dua tahun bersama pasukan ini banyak yang saya lakukan dan misi bersama TFC masih belum tercapai dan ramai lagi pemain TFC yang harus dibimbing untuk lebih mantap,” katanya selepas perlawanan separuh akhir menentang Johor Darul Takzim.

Mengenai kekalahan 0-3 (1-4 secara agregat) kepada JDT yang menyekat langkahan mereka di Piala Malaysia 2021, Nafuzi berkata faktor lambat panas dan gugup dalam 15 minit pertama menghukum pasukannya.

“Apabila pemain saya tidak dapat menyesuaikan diri dalam tempoh awal permainan maka mereka melakukan kesilapan mudah dan memberi ruang buat pemain JDT menguasai permainan sehingga kita dihukum tiga gol dalam tempoh 15 minit perlawanan.

“Walaupun berlawan dengan 10 pemain JDT dan penguasaan permainan jelas milik kita tapi pasukan lawan bertahan dengan baik dan sukar untuk kita menembusi benteng mereka tatkala berusaha menyerang di setiap posisi sama ada di tengah, sayap kiri dan kanan.

“Memang kecewa terutama peluang terhidang oleh Jordan (Mintah tapi dia tidak boleh jaringkan gol ketika penjaga gol lawan sudah tertewas dan jika dapat gol itu mungkin perlawanan akan berbeza. Apapun saya terima kekalahan dengan hati terbuka,” kata Nafuzi.

Pada perlawanan itu, JDT menang 3-0 menerusi dua jaringan Bergson Da Silva serta satu gol Gonzalo Cabrera, manakala Safiq Rahim pula dilayangkan kad merah pada minit ke-19.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.