Nafuzi Zain Anggap Melaka United lebih berbisa

Nafuzi Zain
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain belum mahu mendabik dada dengan prestasi semasa pasukannya yang dilihat berada pada tahap terbaik justeru mengingatkan barisan pemainnya agar tidak terbuai dengan pujian diberikan.

Terengganu FC membelasah Perak FC 5-0 pada minggu lalu dalam aksi pertama Liga Super selepas lebih dua bulan berehat untuk mengukuhkan cengkaman di kedudukan kedua dan terus menghambat Johor Darul Takzim yang menerajui liga dengan kelebihan tiga mata.

Mereka dijangka dapat meneruskan rentak cemerlang apabila berdepan Melaka United di Stadium Hang Jebat pada Rabu, namun Nafuzi Zain menepis tanggapan tersebut kerana menurutnya pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan itu lebih berbisa ketika ini berbanding aksi pusingan pertama.

“Mereka telah mendapatkan Gary Steven serta dua penyerang import (Giovane Da Silva dan Adriano Narcizo) jadi sudah tentunya kita perlu berhati-hati, Melaka United dilihat pasukan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Kami jangkakan perlawanan yang sukar kerana dalam sukan bola sepak macam-macam boleh terjadi. Jadi pemain perlu kekal fokus dan bekerja lebih keras untuk meneruskan rentak kemenangan,” kata Nafuzi Zain.

Sebagai rekod, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Hang Jebat pada musim lalu menyaksikan Melaka United mencatat kemenangan 1-0 manakala ketika mereka bertemu dalam pusingan pertama tempoh hari perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Sementara itu, pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan pula berharap pasukannya akan tampil dengan lebih tajam berbanding menentang Sri Pahang yang berkesudahan seri 1-1 Ahad lalu.

“Tekanan memang tinggi kerana kita mahu keluar dari zon bahaya, kami perlu buru kemenangan, kutip mata apatah lagi tidak jauh beza kedudukan antara Melaka, Perak dan Sri Pahang.

“Jadi lapan perlawanan terakhir perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kita memperbaiki kedudukan dalam liga dan untuk itu penyerang kita perlu menjaringkan gol, tidak mensia-siakan peluang.”

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.