Nafuzi Zain Beringat, Tidak Mahu Pisang Berbuah Dua Kali

Nafuzi Zain
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Nafuzi Zain tidak mahu apa yang berlaku dalam saingan Liga Super, berulang kepada skuad Terengganu FC bimbingannya dalam Piala Malaysia 2021.

Terengganu FC pada satu ketika dilihat berpotensi mengejar Johor Darul Takzim di puncak Liga Super, tetapi pada akhirnya sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas mencicirkan mata demi mata menuju penghujung liga.

Kini mereka sedang memimpin Kumpulan B saingan Piala Malaysia setelah melakar dua kemenangan dalam dua perlawanan, dan Nafuzi Zain mengingatkan pemainnya ia bukan tiket untuk mereka berasa selesa.

Menurut pengendali dari Kelantan itu, apa sahaja boleh berlaku dalam baki empat lagi perlawanan di peringkat kumpulan yang berpotensi menghalang naib jiara 2018 itu layak ke pentas suku akhir.

“Sebenarnya kita dah nampak pasukan di landasan yang betul selepas menang dua perlawanan tempoh hari, cuma empat perlawanan lagi macam-macam boleh jadi kalau kita tidak fokus.

“Harap perjalanan kami akan sentiasa lurus dan tiada halangan apa-apa untuk menuju ke suku akhir sebab sebelum ini bila dah di penghujung liga, kita banyak kehilangan mata.

“Jadi, kali ini saya tidak mahu benda sama berlaku lagi dan tidak boleh kehilangan mata pada saat-saat akhir,” ujarnya.

Sebagai rekod, kali terakhir Terengganu merangkul trofi Piala Malaysia adalah pada tahun 2001.

Dalam pada itu, Nafuzi mengesahkan pasukannya akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan berdepan Kelantan United FC (17 dan 22 Oktober) dan Kelantan FC (23 Oktober) sebagai persediaan mengharungi baki aksi TM Piala Malaysia.

Bagi Nafuzi, tiga perlawanan persahabatan yang diadakan ini sangat penting untuk beliau melakukan penilaian terakhir sebelum saingan Piala Malaysia kembali bersambung pada 29 Oktober ini.

Walaupun tiga tonggak utama iaitu Arif Fadzilah, Faisal Abdul Halim dan Hakimi Abdullah tidak akan terlibat dalam perlawanan tersebut kerana masih menjalani kuarantin selepas pulang dari Jordan, Nafuzi percaya mereka tahu tanggungjawab masing-masing bagi memastikan kecergasan di tahap terbaik untuk diturunkan dalam aksi seterusnya nanti.

“Tiga perlawanan persahabatan ini memang cukup untuk kami, tidak perlu pergi ke venue jauh pun dan lawan dengan dua pasukan iaitu Kelantan United dan Kelantan FC sudah memadai untuk saya tengok prestasi barisan pemain, dekat mana lagi yang perlu diperbaiki sebelum saingan bersambung.

“Kalau untuk tiga pemain yang sedang kuarantin, saya tidak risau sangat pun dengan mereka sebab saya tahu mereka mampu jaga diri masing-masing dan tidak akan mengabaikan kecergasan, bahkan mereka boleh lagi berlatih dengan pemain-pemain lain yang turut sama kuarantin.

“Jadi, untuk pemain lain, memang perlawanan persahabatan ini sahaja cara terbaik untuk mereka dapat momentum perlawanan di padang dan nak dapatkan balik kombinasi terbaik antara satu sama lain sebab dah lama sangat berehat,” jelasnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.