Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain belum mahu memikirkan mengenai peluang untuk membimbing skuad B-23 kebangsaan, namun tidak akan menolak jika diberikan kepercayaan.
“Itu adalah impian setiap jurulatih untuk membimbing skuad kebangsaan, jika tiba masanya insya-Allah. Buat masa sekarang saya mahu fokus terlebih dahulu bersama TFC, lagipun sekarang saya dalam proses belajar mencari pengalaman, apabila tiba masanya, insya-Allah saya akan terima sebagai jurulatih kebangsaan (B-23).
“Setakat ini belum ada tawaran lagi (bimbing skuad B-23), jika ada tawaran buat masa sekarang saya hanya memikirkan pemain dan barisan kejurulatihan saya,” ujar Nafuzi Zain selepas menyaksikan pasukannya membenam Kedah 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Terengganu melonjak ke tangga keempat Liga Super setelah meraih tiga mata menerusi jaringan Kpah Sherman dan Manny Ott manakala Kedah membalas menerusi jaringan minit akhir Azamuddin Akil.
Walaupun mencatat kemenangan kedua berturut-turut ke atas skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu, Nafuzi Zain tetap mengakui ia bukan satu perlawanan yang mudah.
“Pasukan Kedah bukan lawan yang mudah, tapi pemain berjaya memperagakan aksi bertenaga untuk kekal bertahan sehingga berakhir perlawanan sebelum melakar kemenangan.
“Namun sedikit kelekaan di penghujung babak kedua memberikan satu gol kepada pelawat dan pemain nampak tertekan, bagaimanapun kita bernasib baik kerana masa hampir tamat ketika lawan mengintai untuk mencari jaringan penyamaan.
“Saya boleh rumuskan kunci kejayaan malam ini (malam tadi) disebabkan pemain berjaya mempamerkan aksi mantap dan bertenaga, saya cuma melakukan persediaan sebelum perlawanan manakala selebihnya aksi mereka di padang,” tambahnya.