Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain meletakkan sepenuhnya fokus beliau kepada mempersiapkan pasukan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2022 di sebalik namanya hangat dikaitkan dengan skuad kebangsaan.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini sedang mencari penolong jurulatih kepada Kim Pan Gonyang dijangka memulakan tugasnya bulan ini di mana selain Nafuzi Zain, beberapa nama lain turut dikaitkan antaranya Nidzam Jamil, Zainal Abidin Hassan, E.Elavarasan dan Manzoor Azwira.
Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar sebelum ini memberitahu Kim Pan Gon sendiri akan memilih penolong mengikut kriteria yang dimahukannya, dan FAM akan membantu berunding jika individu berkenaan berkontrak dengan mana-mana pasukan.
Menurut Nafuzi Zain, beliau langsung tidak memikirkan mengenai jawatan tersebut apatah lagi tiada sebarang tawaran dikemukakan kepadanya, dalam masa sama dia sendiri tiada mengemukakan permohonan.
“Setakat ini tiada tawaran secara rasmi daripada FAM berhubung perkara itu, (pelantikan sebagai pembantu ketua jurulatih), fokus saya kini adalah 100 peratus kepada persiapan pasukan TFC dalam menghadapi saingan liga tidak lama lagi.
“Lagipun saya tidak pernah memikirkan mengenai tawaran itu, tapi jika betul itu penghargaan buat saya sebagai jurulatih kerana dicalonkan sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan,” katanya dilaporkan Arena Metro.
Namun Nafuzi Zain tidak menolak kesediaan untuk mempertimbangkan sekiranya ada tawaran atau hitam putih daripada pihak FAM.
“Bagi saya sama ada minat ataupun sebaliknya sukar untuk diungkapkan kerana saya masih ada kontrak bersama TFC dan seluruh komitmen dan tanggungjawab saya bersama TFC.
“Namun jika ada tawaran saya akan memikirkan semula sebab sekarang belum ada hitam putih, jadi tidak boleh bercakap apa-apa, tapi bagi saya lebih penting adalah TFC,” kata Nafuzi.
Sebagai rekod, Nafuzi mula membimbing Terengganu FC pada pertengahan 2019 dan menjadikan pasukan itu antara pasukan pencabar kejuaraan. Pada musim lalu Terengganu FC menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keempat dan mara sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia.