Nafuzi Zain Kurang Senang Pemilihan Pemain Dipertikai

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Terengganu FC mengalami kekalahan kedua berturut-turut setelah kecundang 0-1 kepada KL City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Ahad.

Kekalahan menerusi jaringan tunggal Paolo Josue itu menyaksikan peluang Terengganu FC untuk menamatkan Liga Super di kedudukan kedua semakin terancam.

Mereka ketika ini di kedudukan ketiga dengan 37 mata, satu mata di belakang Kedah Darul Aman, dan hanya mengatasi Penang FC yang berada di kedudukan keempat menerusi beza jaringan.

Ini reaksi pengendali pasukan, Nafuzi Zain selepas tamat perlawanan, “Kita datang untuk tiga mata tapi gagal, pemain sudah bagi yang termampu, saya berpuas hati, tapi bukan rezeki kita.

“Memang kalau tengok pada keputusan kita kalah, tapi kalau tengok dari segi performance dalam dua perlawanan termasuk Kedah kita tak sepatutnya kalah. Kita cipta peluang tapi tak sudahkan, lawan ambil kesempatan, kita dihukum sebab kesilapan sendiri.”

Nafuzi Zain juga dilihat kurang senang apabila wartawan mempertikai pemilihan Faiz Nasir di dalam kesebelasan utama berbanding Hakimi Abdullah dalam tiga perlawanan berturut-turut termasuk menentang Sri Pahang dan Kedah.

Kali terakhir pemain sayap dari Kelantan itu berada dalam kesebelasan utama adalah ketika menentang PJ City pada 4 Ogos, dan Nafuzi Zain mempunyai alasannya tersendiri.

“Bagi saya taktikal tu satu, tapi prestasi semasa. Hakimi setiap hari dengan saya, jadi saya tahu bila prestasi pemain itu naik turun. Situasi sekarang Faiz Nasir prestasi dia lebih baik dari Hakimi, dan ia juga atas kesesuaian permainan, kesesuaian lawan. Bagi saya, siapa perform, ada nama tiada nama, boleh main,” ujar Nafuzi Zain.

Walaupun Hakimi dilihat menyerlah dan membantu ‘menghidupkan’ barisan serangan selepas masuk di separuh masa kedua, Nafuzi Zain tegaskan bahawa prestasi seseorang pemain itu ketika bermain di kesebelasan utama dan masuk sebagai gantian adalah berbeza.

“Cuba nilai balik permainan Hakimi masa kesebelasan utama menentang PJ City dan malam ini, adakah sama? Sebab tu saya kata bermain dalam kesebelasan utama dan gantian dua situasi berbeza, apabila bermain di kesebelasan utama kedua-dua pasukan masih fresh, gantian masuk bila pemain lawan dah penat.

“Bukannya saya tak pernah bagi peluang kepada Hakimi sebelum ini, kita tahu kemampuan pemain, situasi dan keadaan semasa, taktikal game, pemain mana lagi sesuai untuk kita guna. Mungkin pada pandangan kamu (wartawan/penyokong) nampak dia lebih baik, tapi saya setiap hari hadap pemain, saya tahu siapa nak diturunkan,” tambah Nafuzi Zain.

Pada perlawanan menentang KL City juga, Nafuzi Zain menghadiahkan Lee Tuck penampilan sulungnya untuk musim ini.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.