Nafuzi Zain tolak tanggapan Lee Tuck boleh baca permainan Terengganu FC

Nafuzi Zain
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pertembungan antara dua pasukan pantai timur, Terengganu FC dan Sri Pahang di Stadium Darulmakmur pada Selasa, antara perlawanan tumpuan bagi minggu ini.

Kedua-dua pasukan terdesak untuk mencatat kemenangan di mana Terengganu FC gagal untuk melakukannya dalam tiga aksi terakhir selepas memulakan musim dengan menang tiga perlawanan pertama.

Sri Pahang pula lebih teruk hanya menang sekali dalam enam perlawanan yang telah diharungi, membuatkan mereka kini terperosok di tangga kedua tercorot Liga Super.

Pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh pastinya berharap mereka akan dapat meraih sesuatu dengan memanfaatkan pengalaman bekas tonggak Terengganu FC, Lee Tuck yang mungkin tahu serba sedikit strategi bekas pasukannya itu.

Namun, pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain menepis tanggapan sedemikian.

“Saya tahu pemain Sri Pahang ada kualiti seperti Lee Tuck serta pemain lain, apa yang saya nampak walaupun mereka tewas kepada Kedah Jumaat lalu, daripada segi permainan mereka bermain dengan baik cuma keputusan tidak menyebelahinya.

“Lagipun dalam saingan Liga Super bukan mudah buat pasukan untuk dapatkan tiga mata walaupun bertemu pasukan kelompok bawah atau atas liga, jadi pemain perlu berwaspada dengan taktikal pasukan lawan.

“Bagaimanapun saya tidak melihat Tuck mampu membaca strategi selain menjadi penghalang kepada kita. Ini kerana dalam pasukan TFC ramai pemain baharu dan sudah tentu corak permainan tidak sama malah kualiti dan kemampuan juga berbeza,” kata Nafuzi.

Sementara itu, Dollah Salleh pula tidak menolak kemungkinan akan menggunakan semua pemain tempatan dalam aksi getir itu kerana menurutnya pemain import selain Lee Tuck dan Herold Goulon tidak banyak membantu pasukan.

“Goulon tidak boleh diturunkan kerana mendapat kad merah semasa pertemuan dengan Kedah manakala yang lain saya belum buat keputusan muktamad lagi cuma saya rasa mahu menggunakan semua pemain tempatan kali ini.

“Saya mahu berikan peluang kepada pemain tempatan dan lihat apa hasilnya, bagaimanapun tengok dahulu sehingga hari esok sebelum saya senaraikan kesebelasan utama, ” katanya.

Pemain import lain dalam pasukan Sri Pahang adalah Yevhen Bokhashvili, Pedro Henrique dan Mamadou Wague.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.