Andai benar pemain sayap dari Gambia, Mohamadou Sumareh mahu meninggalkan Pahang setelah kontraknya berakhir pada hujung musim ini, terpulang kepada pemain itu.
Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata ia adalah hak mutlak pemain untuk membuat keputusan dan dia tiada kuasa untuk menyekat jika ada pemain mahu berpindah.
“Pemain mahupun jurulatih datang dan pergi itu asam garam dalam bolasepak, jika dia mahu berpindah, itu terpulang kepadanya,” ujar Dollah.
Baca : Resipi yang membuatkan Dollah Salleh digelar jurulatih magis
Sebagai rekod, Sumareh telah bersama Pahang sejak 2017 sebagai pemain import tetapi bertukar status kepada tempatan pada tahun 2019 selepas dinaturalisasikan pada bulan Oktober 2018.
Pemain berusia 26 tahun itu hangat dikaitkan dengan perpindahan berprofil tinggi ke Johor Darul Takzim sejak awal tahun ini, dan ia diperkuatkan lagi selepas dia dilihat ‘amat mesra’ dengan pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman instagram pada bulan lalu.
Secara peribadi, Sumareh sendiri tidak pernah menyatakan mahu meninggalkan Pahang, tetapi dalam temuramah disiarkan Dunia Bola pada beberapa minggu lalu, pemain itu tidak menolak akan berbuat demikian seandainya mendapat tawaran.
“Dalam dunia ini termasuk awak sendiri, kalau awak dapat tawaran yang lebih baik, awak nak kekal atau ambil tawaran itu? Mestilah awak nak pergi kan?
“Sama juga dalam bolasepak, awak tak bermain selama-lamanya di tempat sama. Semua pemain akan mengambil tawaran yang lebih baik, itulah realiti bolasepak sekarang,” katanya dalam temubual itu.
Saksikan temubual penuh dalam video di bawah:
Perlu diakui, dalam saingan Liga Malaysia, tiada pasukan lain boleh disifatkan sebagai serba sempurna selain JDT dalam semua aspek justeru tidak hairanlah mereka menjadi pasukan idaman setiap pemain.
Baca : Matt Davies akui bertuah, nikmati setiap detik di JDT
Jika Sumareh jadi menyertai JDT sama ada dalam tempoh terdekat atau di masa akan datang, dia akan menjadi pemain Pahang kelima berhijrah ke selatan selepas Azamuddin Akil, Amirulhadi Zainal, Faizol Hussien dan Matthew Davies.