“Nak buat macam mana lagi?” – Dollah Salleh

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh sudah hilang idea bagaimana untuk memulihkan sentuhan penyudah pasukan itu, setelah mereka mengalami kekalahan 0-2 kepada KL City di laman sendiri, pada Jumaat.

Ia adalah kekalahan kesembilan mereka musim ini, yang kedua berturut-turut selepas kecundang kepada Terengganu FC dengan jaringan sama pada 7 Ogos lalu dan Dollah Salleh tidak berselindung menyatakan ketumpulan penyudah adalah punca mereka gagal merubah nasib malang.

“Ini yang saya nampaklah, sejak akhir-akhir ini nampak susah untuk kita menjaringkan gol. Saya tak tahu kenapa. Kita sudah cuba macam-macam.”

“Dalam latihan pun kita sudah bagi latihan shooting kepada penyerang. Dan masih lagi benda ini [tumpul] berlaku. Mungkin ini yang telah membuatkan ada pemain yang tidak berpuas hati, khasnya di bahagian pertahanan dan di situ kita telah buat kesilapan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sebagai rekod, barisan serangan Sri Pahang pada aksi menentang KL City bimbingan Bojan Hodak diterajui oleh Aung Kaung Mann yang setakat ini baru meledak dua gol dalam enam penampilan.

Manakala seorang lagi penyerang Kenny Athiu pula hanya menyerlah pada penampilan sulung menentang Perak FC apabila menjaringkan dua gol dan selepas itu terus hilang dari radar dan sentiasa menjadi sasaran kritikan.

Hanya Manuel Hidalgo dikatakan rekrut terbaik dibuat Sri Pahang di jendela perpindahan kedua.

Pada perlawanan itu, Romel Morales membuka tirai jaringan buat KL City bimbingan Bojan Hodak apabila rembatannya tidak dapat diselamatkan Daniel Waffiudin, manakala gol kedua menyusul minit ke-70 setelah Zhafri Yahya menyudahkan hantaran J.Partiban.

Kekalahan menyaksikan Sri Pahang terus kekal di kedudukan empat terbawah dan sedang berjuang hebat untuk keluar dari zon penyingkiran tatkala KL City pula melebarkan rekod tanpa kalah kepada sembilan perlawanan.

Ini adalah rekod terbaik pasukan warga kota dalam sejarah penyertaan mereka di Liga Super dan mereka ketika ini masih dalam landasan untuk mengejar kedudukan empat teratas.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.