‘Nak Kejar JDT, Tak Boleh Sekejap Menang Sekejap Seri Atau Kalah – Ong Kim Swee

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Sabah FC, Dato’ Ong Kim Swee berkata pasukannya perlu konsisten mencatat kemenangan jika tidak mahu tercicir jauh di belakang Johor Darul Takzim dalam kedudukan liga.

Kim Swee memimpin pasukannya mencatat kemenangan kemenangan keempat dalam lima aksi terakhir dan yang ketujuh dalam 10 perlawanan ketika menewaskan Negeri Sembilan 1-0 pada Ahad lalu.

Ia sekaligus membolehkan mereka kembali melonjak ke tangga kedua dengan 22 mata, hanya satu mata di belakang JDT namun sudah beraksi lebih satu perlawanan.

“Boleh dianggap suatu pencapaian yang baik apabila kita berjaya meraih empat mata daripada dua perlawanan di tempat lawan.

“Sabah perlu memastikan konsistensi dalam perlawanan dan kita tidak boleh sekejap menang, sekejap kalah atau seri kerana ia penting jika mahu mencabar kedudukan pendahulu carta liga, Johor Darul Ta`zim (JDT).

“Apapun dalam setiap perlawanan akan ada kelemahan dan kita akan terus berusaha memperbaikinya kerana pasukan akan menghadapi cabaran lebih besar selepas ini dalam pusingan kedua liga,” kata Kim Swee selepas perlawanan di Paroi.

Mengulas lanjut, Kim Swee berkata strategi bertahan yang cukup baik diperagakan barisan pemainnya ternyata berkesan menahan asakan jentera serangan skuad kendalian K.Devan, sekaligus menjadi faktor utama mereka berjaya meraih tiga mata.

“Biarpun persembahan pemain Sabah terutama pada separuh masa pertama tidak begitu baik sehingga memberi ruang kepada Negeri Sembilan melakukan asakan ke dalam kawasan gol, gawang pasukan masih mampu bertahan dengan baik.

“Strategi bertahan yang kita pamerkan ternyata berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada jentera serangan Negeri Sembilan.

“Keberkesanan strategi itu memberikan keyakinan kepada diri pemain yang akhir berjaya mempertahankan gawang pasukan sehingga ke penghujung saingan,” kata Kim Swee.

Pemain tengah skuad Sang Badak, Park Tae-su, muncul wira apabila meledak gol tunggal dan juga gol kemenangan Sabah pada minit ke-62 perlawanan.

Tambah bekas jurulatih skuad kebangsaan itu, dari awal mereka sedar bukan mudah berdepan skuad Jang yang cukup ampuh bila beraksi di gelanggang sendiri, justeru memberi kredit kepada pemainnya yang menunjukkan komitmen dan bekerja keras sepanjang tempoh 90 minit perlawanan untuk menyekat lawan mendapatkan jaringan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.