Nak turunkan siapa, itu hak dan tanggungjawab ketua jurulatih

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tiada siapa yang mempunyai hak untuk mempertikaikan pemilihan pemain dibuat Tan Cheng Hoe untuk menggalas cabaran skuad kebangsaan di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berakhir Rabu lalu.

Ramai pemerhati dan penyokong berpendapat Tan Cheng Hoe bukan sahaja tersilap dalam membuat pilihan 26 pemain untuk dibawa ke Dubai, tetapi tidak membuat keputusan tepat di dalam pemilihan kesebelasan utama.

Bagi bekas jurulatih kebangsaan Dollah Salleh, ia adalah hak mutlak ketua jurulatih yang lebih tahu mengenai pemainnya, apatah lagi ketua jurulatih jugalah yang akan bertanggungjawab terhadap keputusan dibuatnya itu.

“Siapa pemain akan beraksi itu jurulatih yang tentukan, sebab dia hari-hari bersama pemain dan hari-hari memantau perkembangan pemain tersebut. Jangan kita pertikaikan keputusan jurulatih, tidak boleh begitu.

“Pilihan pemain dibuat jurulatih disebabkan dia dapat kepuasan yang diinginkan daripada pemain itu, berdasarkan dari sudut prestasi individu dalam latihan, tetapi apabila pada perlawanan sebenar dia (pemain) tidak menjadi. Itulah lumrah bola sepak,” kata Dollah Salleh kepada Bernama.

Dollah Salleh yang mengendalikan skuad negara selama dua tahun pada 2014 dan 2015 juga tidak bersetuju mengatakan pemain naturalisasi yang menjadi sasaran kecaman, Guilherme De Paula bermain dengan tidak ada semangat kenegaraan.

“Itu bukan isunya (semangat), siapa yang tidak semangat bila bermain untuk pasukan negara, cuma nak buat pasukan bermain sebagai sebuah pasukan bukan senang, persiapan pasukan kali ini pun terlalu singkat. Semua pemain ada semangat untuk beraksi, sama ada dia ‘perform’ atau tidak, itu sahaja.

“Dia (De Paula) tak ‘perform’ dalam dua perlawanan awal, tetapi saya nampak ada banyak peningkatan pada aksi terakhir. Menentang UAE dia banyak berdiri tercegat dalam perlawanan, lawan Vietnam ada nampak sedikit pergerakan dibuat, dan penglibatan dia dalam permainan lebih dilihat masa lawan Thailand.

“Kalau dia (De Paula) tidak mempunyai semangat negara, tengok cara dia meraikan jaringan penalti lawan Vietnam, itu disebabkan dia nak tunjukkan semangat yang dia ada,” jelas Dollah Salleh.

Sebagai rekod De Paula melengkapkan syarat naturalisasi pada 31 Mei lalu dan meraih kap sulung bersama Harimau Malaya ketika tewas 0-4 kepada UAE.

Dua kekalahan dan satu kemenangan pada tiga aksi terakhir membolehkan skuad negara menamatkan saingan Kumpulan G di tangga ketiga dan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.