Nantikan Saya Yang Berbeza Di Piala AFF – Safawi Rasid

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Safawi Rasid meletak keyakinan tinggi prestasi buruknya dalam saingan Liga Malaysia tidak akan dibawa ke dalam skuad Harimau Malaya tatkala dia bersedia untuk tampil berbeza bagi membantu cabaran di Piala AFF 2020.

Pemain sayap itu dikritik hebat kerana kemerosotan mendadak prestasi dan kegagalan untuk menterjemahkan tahap sebenar permainannya terutama setelah pulang dari Portugal pada awal tahun ini.

Kecederaan lutut seawal perlawanan ketiga menambahkan lagi krisis keyakinan pemain ini dan menyebabkan dia kehilangan tempat dalam kesebelasan utama di Johor Darul Takzim (JDT) dengan menyerlahnya bintang muda sensasi Arif Aiman Hanapi.

Safawi tidak mahu terus bergelut dan mencipta alasan, sebaliknya bersedia untuk menjadi watak penting sekali lagi sepertimana ketika dia membantu skuad negara muncul naib juara Piala AFF 2018.

“Lumrah dalam bola sepak bola sepak, kadang-kadang kita naik dan kadang-kadang turun. Tahun ini mungkin buruk bagi saya, tapi tahun depan mungkin yang terbaik dan mana tahu Piala Suzuki AFF ini rezeki bagi saya, ‘meletup’ lagi.

“Bagi saya, benda ini (prestasi menurun) bagus untuk pemain bola sepak kerana ia bagi motivasi kepada kita untuk bangkit semula seperti mula-mula nak bermain bola sepak.

“Mungkin jika kita selalu di atas, kita akan rasa selesa dan kita ambil mudah. Sekarang ini, saya rasa seperti mula-mula saya nak bola dan akan cuba yang terbaik untuk Piala AFF,” katanya.

Sementara itu, pemain muda Mukhairi Ajmal Mahadi menyatakan dia bersedia mengalas peranan selaku enjin di bahagian tengah jika diberikan kepercayaan oleh Tan Cheng Hoe, walaupun ini adalah kejohanan besar pertamanya.

Skuad Harimau Malaya hanya memiliki kelibat Mukhairi dan Baddrol Bakhtiar di posisi tengah susulan dua pemain Akram Mahinan dan Kenny Palraj terpaksa digugurkan kerana kecederaan.

“Saya banyak belajar dari Baddrol dan saya yakin semua pemain akan berkomunikasi dengan baik. Saya sebagai pemain sentiasa bersedia jika diberi peluang dan saya akan bagi 100 peratus.

“Ini motivasi dan beri saya lebih bersemangat serta inilah peluang terbiak untuk tonjolkan lagi bakat saya. Tapi saya kena kerja keras lagi sebelum perlawanan pertama berdepan Kemboja.

“Saya harap dapat beri persembahan terbaik untuk pasukan dan saya juga nak dapatkan pencapaian terbaik di Piala AFF. Bagi saya ini pertandingan besar dan ini penampilan pertama saya,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.