“Nasib Baik Liridon Tak Ada, Kalau Tidak Game Yang Laju Boleh Jadi Slow”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jurulatih berpengalaman luas, Irfan Bakti Abu Salim mengakui terkejut melihat corak permainan berbeza ditunjukkan skuad negara ketika menewaskan Turkmenistan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

Malaysia turun dengan permainan menyerang, laju, bertenaga dan berintensiti tinggi sejak dari sepak mula, hasilnya berjaya mendapatkan dua gol dalam 15 minit pertama dan menambah satu lagi di penghujung separuh masa pertama.

Aksi memukau yang ditunjukkan membuatkan Irfan Bakti yang turut menjadi pengulas perlawanan tersebut di saluran TV9 beremosi dan hilang kata-kata.

“Aksi Malaysia sudah lama kita tengok, tapi semalam bila perlawanan bermula saya kata betul ke ini pasukan Malaysia? Betul ke mereka main dengan begitu tinggi intensiti dalam menekan pemain lawan?

“Sebelum perlawanan saya anggap mungkin biasa sahaja, tapi selepas itu saya terkejut. Gol pertama dan gol kedua memang menarik kerana seni bola sepak yang mereka pamerkan.

“Saya tak boleh nak gambarkan seni yang mereka mainkan, bukan terlalu hebat tapi berubah sakan. Semasa gol pertama saya tak boleh bercakap, saya tak boleh kawal emosi, memang saya tak percaya mula-mula itu.

“Jadi bila mereka jaringkan gol dengan pergerakan yang cantik, saya orang lama dengan bola sepak jadi rasa tertarik. Sebak dan emosi itu sebenarnya kerana gembira dengan cara permainan Harimau Malaya pamerkan.

“Tapi jangan lupa peranan penonton semalam, kalau saya main tempat orang (dengan penyokong) macam itu pun saya gerun. Tengok lawan Bahrain nanti, pecah stadium,” katanya kepada BH Sukan.

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon membariskan pemain yang cukup solid di barisan depan, dalam kelibat Nor Azam Azih, Faisal Halim, Safawi Rasid, Arif Aiman Hanapi dan Darren Lok.

Faisal dan Arif cukup cemerlang dan lincah di posisi sayap, Safawi dan Darren Lok bergilir memberi tekanan kepada pertahanan Turkmenistan manakala Nor Azam menunjukkan ketenangan dalam menguasai tengah.

“Mungkin ini sebabnya Liridon Krasniqi tak ada dalam pasukan itu, kalau tak dia akan memperlahankan permainan. Jadi memang menarik, itu saya kata, soal ranking itu perkara kedua atau ketiga.

“Apa yang penting adalah mengenai persembahan pada hari perlawanan. Memang betul, kalau nak kira saiz (fizikal pemain) kita memang kalah,” tambah Irfan Bakti.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.