Nasib malang Sri Pahang berterusan setelah kecundang buat kali keenam

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sri Pahang gagal merubah nasib malang mereka dalam kempen Liga Super 2021 apabila tewas sekali lagi, kali ini 0-2 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi di Stadium Darulmakmur.

Jaringan Leandro Velazquez hasil kekalutan di depan gol pada minit ke-22 serta gol menerusi skill cantik Bergson da Silva pada masa kecederaan memastikan JDT meraih tiga mata dan menghadiahkan kekalahan keenam musim ini kepada skuad bimbingan Dollah Salleh.

Lebih malang, Sri Pahang menamatkan permainan dengan 10 pemain setelah pemain pertahanan Mohd Ezanie Mat Salleh dilayangkan kad merah oleh pengadil Tuan Mohd Yassin Hanafiah pada minit ke-70 kerana mengasari Gonzalo Cabrera.

Perlawanan ini turut menyaksikan penyerang sensasi harimau selatan, Safawi Rasid kembali beraksi buat kali pertama selepas berehat lima perlawanan kerana kecederaan apabila dimasukkan sebagai pemain gantian menggantikan bintang muda, Arif Aiman Hanapi di babak kedua.

Kekalahan terbaru ini menyaksikan Sri Pahang kekal di tangga kesebelas Liga Super setelah hanya menang sekali dalam sembilan perlawanan tatkala JDT pula mengekalkan rekod tanpa kalah dan terus bermaharajalela di puncak liga dengan 23 mata.

Sri Pahang ketika ini telah mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan dan berdasarkan prestasi semasa mereka perlu mengharapkan keajaiban untuk terus kekal dalam Liga Super musim depan. Mungkin juga sedikit rombakan pasukan terutama barisan pemain import di jendela perpindahan kedua akan sedikit sebanyak membantu.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menyaksikan Terengganu FC mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City menerusi jaringan tunggal Makan Konate pada minit ke-88 perlawanan.

Sementara itu, dalam aksi tunggal Liga Premier, PDRM FC bimbingan Wan Rohaimi Ismail melakar kejutan besar setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas pasukan berstatus bintang Sarawak United yang juga pendahulu liga menerusi jaringan penalti Lazarus Kaimbi dan Nabil Ahmad Latpi.

Ia adalah kekalahan pertama buat skuad E.Elavarasan yang sebelum ini mencatat lima kemenangan dan satu keputusan seri dalam enam perlawanan.

Foto kredit : Johor Southern Tigers

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.