“Gaji besar bukan alasan abai pelajaran, sediakan payung untuk masa depan,” nasihat bekas pemain Harimau Muda

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sebut nama V.Kavichelvan, mungkin tidak ramai mengenali bekas pemain Harimau Muda ini yang merupakan batch pertama pasukan remaja negara ketika ia mula diwujudkan pada tahun 2009.

Ketika ramai pemain seangkatan dengannya seperti Gary Steven Robbat, Ameer Saidin, Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Muslim Ahmad dan K.Gurusamy mengorak langkah menempa nama dalam arena bolasepak, Kavichelvan memilih haluan berbeza.

Kavichelvan bukan sahaja sudah bergelar Inspektor Polis, tetapi lebih menarik dia sedang melanjutkan pengajian secara part time di peringkat Master dalam bidang Sains Sukan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kavichelvan dan Hazwan "Gaji besar bukan alasan abai pelajaran, sediakan payung untuk masa depan," nasihat bekas pemain Harimau Muda

Kavichelvan yang meninggalkan Harimau Muda selepas membantu skuad Ong Kim Swee menduduki tangga keempat Liga Singapura pada 2012 juga merupakan lepasan pra-universiti Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pemegang Ijazah Sumber Kemanusiaan dari Universiti Putra Malaysia.

Bagi Kavichelvan, bolasepak pada hari ini sememangnya menjanjikan pendapatan lumayan, tidak perlu belajar tinggi sehingga diploma, ijazah atau Master untuk meraih gaji berbelas atau berpuluh ribu tetapi itu bukan alasan untuk mengabaikan pelajaran.

Perkara yang dibimbanginya ada dua; pertamanya lambakkan pemain dalam liga yang hanya mempunyai 24 pasukan profesional akan menyebabkan ramai pemain berdepan situasi tidak ada pasukan dan terpaksa beralih karier untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Manakala yang kedua dia sedar tidak semua kelab dapat menguruskan kewangan dengan cara betul dan sentiasa berbelanja melebihi kemampuan menyebabkan Liga Malaysia cukup sinonim dengan ‘penyakit’ tunggakan gaji sehinggakan ada kelab yang sudah pun ‘bungkus’ dan hilang tanpa meninggalkan identiti.

“Nasihat saya kepada pemain muda, sentiasa merendah diri dan jangan terbuai. Bolasepak pada hari ini sangat demanding, terlalu ramai pemain bagus dan berkualiti, persaingan cukup tinggi. Saban tahun produk (pemain) makin bertambah tetapi pasukan tidak banyak.

“Jadi pada usia muda, pacu prestasi ke tahap tertinggi, tunjukkan keghairahan untuk kejar apa yang anda mahu sepertimana Safawi (Rasid) dan Akhyar (Rashid). Seorang dari Terengganu, seorang dari Kedah, kedua-duanya kini di JDT. Tapi adakah semua boleh jadi seperti mereka?

“Anda mungkin boleh menjadi seorang bintang yang bermain di JDT, atau pada akhirnya tidak ke mana, binasa tanpa apa-apa. Bermain dengan kelab kecil yang menjanjikan gaji tinggi akhirnya tertunggak. Jadi jangan abaikan pelajaran, selepas habis SPM, sambunglah sekurangnya Diploma atau Ijazah sebagai jaminan masa depan.

“Ramai pemain teruja dengan gaji tinggi dan lupa tentang pentingnya pendidikan. Kawan-kawan saya ketika dalam skuad remaja dulu ramai yang bergelut sekarang kerana tidak sediakan payung untuk masa depan. Tiada bolasepak, tiada pendidikan,” katanya kepada Labola Malaya.

Harimau Muda "Gaji besar bukan alasan abai pelajaran, sediakan payung untuk masa depan," nasihat bekas pemain Harimau Muda

Tambahnya lagi, “Saya puji tindakan Persatuan Bolasepak Selangor pada zaman saya yang meletakkan pemain-pemain akademi mereka belajar di sekolah vokasional dan bermain bola, jadi disebabkan itu saya berjaya sambung belajar dan dapat ijazah.

“Ia satu perancangan yang cukup baik untuk pemain muda kerana sekurang-kurangnya apabila tidak lagi berpendapatan lumayan sebagai pemain bola, apa-apa terjadi seperti tunggakan gaji atau masalah kecederaan (tidak dapat teruskan karier), kita masih ada kerja serta gaji tetap.

“Kita juga telah melihat senario Liga Malaysia pada tahun ini pasukan seperti Kelantan, Melaka United, Felda United malah PDRM sendiri berdepan krisis kewangan meruncing dan tidak dapat membayar gaji pemain untuk beberapa bulan.

“Pemain-pemain terpaksa keluar kerana tahu mereka masih ada nilai tetapi berdepan kesukaran mencari pasukan baru yang boleh membayar gaji sepertimana diinginkan. Ada yang terima sahaja apa yang ditawarkan tetapi apabila berada di dalam pasukan baru masalah tunggakan gaji berulang lagi.

“Agak sedih apabila ada kawan yang kata apa lagi boleh aku buat selain bermain bola, ini sahaja yang aku tahu. Situasi ini yang saya harap pemain-pemain muda meningkat naik ini jadikan satu pengajaran.”

Sementara itu, bercakap mengenai perjalanan karier, Kavichelvan berkata dia bermula dengan pasukan B-17 dan B-19 Selangor sebelum direkrut ke dalam pasukan Harimau Muda dan sempat beraksi di bawah Datuk K.Rajagobal dan Tan Cheng Hoe, Azraai Khor Abdullah serta Datuk Ong Kim Swee.

“Saya terlepas peluang mewakili pasukan Sukan Sea 2011 kerana mengalami kecederaan ACL namun kembali pada musim berikutnya untuk bermain di Liga Singapura sebelum dilepaskan. Saya tidak pernah berpeluang masuk ke dalam skuad senior kebangsaan, itu antara kegagalan terbesar karier saya.”

Selepas keluar dari Harimau Muda, Kavichelvan pernah beraksi dengan beberapa pasukan Liga Malaysia seperti Selangor pada 2012; Negeri Sembilan pada 2013 dan 2014; Melaka pada 2016 sebelum menyertai PDRM FA pada 2017.

Dia mendapat tawaran untuk menjalani latihan polis selama sembilan bulan ketika masih bersama Melaka United dan sejurus tamat latihan pada Februari 2017, Kavichelvan meninggalkan pasukan itu untuk menyertai pasukan polis dan bermain untuk PDRM FA.

Kavichelvan "Gaji besar bukan alasan abai pelajaran, sediakan payung untuk masa depan," nasihat bekas pemain Harimau Muda

Bagi mencari lebih minit permainan, dia pernah cuba berkelana mencari peluang bermain dengan pasukan lain pada 2018 malah pernah mendapat tawaran bermain dengan pasukan Liga Super, Liga Premier dan Liga FAM namun polisi PDRM, tidak membenarkan anggota mewakili pasukan lain.

Situasi itu menyebabkannya terpaksa mengorbankan kegilaan terhadap bolasepak, tetapi keghairahannya tidak pernah sedikitpun pudar.

Pada 2019 dia telah diberi peranan membimbing skuad wanita PDRM FA dan bermula tahun 2020 Kavichelvan dilantik sebagai penolong jurulatih skuad Piala Presiden the cops dan adalah menjadi cita-citanya untuk melahirkan pemain-pemain berilmu serta mempunyai masa depan lebih cerah.

Foto : Koleksi Peribadi Kavichelvan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.