Nasihat otai kepada persatuan bolasepak yang mahu buat pemotongan gaji

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kalau ada masalah kewangan disebabkan penangguhan Liga Malaysia sehingga perlu buat pemotongan gaji, bincanglah secara profesional dan tertutup.

Demikian tegas pertahanan veteran Kuala Lumpur Shukor Adan.

“Soal gaji pemain dan kedudukan kewangan pasukan eloklah dibawa berbincang secara dalaman, bukan dalam media atau media sosial.

“Semua pihak harus bertindak secara profesional dalam menangani isu ini. Dalam dunia korporat, sebarang bentuk potongan gaji atau bayaran bonus tidak dibincangkan secara terbuka,” ujar Shukor yang turut pernah beraksi bersama Selangor dan Negeri Sembilan.

Bekas kapten pasukan kebangsaan itu bagaimanapun berharap mana-mana majikan (persatuan/kelab bolasepak) tidak sengaja menjadikan pandemik COVID-19 sebagai alasan untuk memotong gaji pemain secara melulu.

“Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk membayar gaji pekerja. Isunya kini adalah pemain sebenarnya bimbang COVID-19 ini dijadikan alasan untuk memotong atau melewatkan pembayaran gaji kepada pemain.

“Pemain sedar ada sesetengah pasukan yang sentiasa berdepan masalah membayar gaji. Ada juga pasukan yang masih berdepan masalah gaji tertunggak. Jadi pemain tidak mahu masalah ini kian membesar angkara COVID-19.

“Pemain bimbang sebenarnya jika ada pihak yang menangguk di air keruh,” tambahnya.

COVID-19 yang diisytihar sebagai pandemik global dijangka memberi kesan besar dalam aspek kewangan kepada pasukan bolasepak seluruh dunia. Beberapa pasukan terkemuka Eropah sudahpun mencapai persetujuan pemotongan gaji dengan pemain dan pegawai, termasuklah Juventus, Bayern Munich, Atletico Madrid dan Borussia Dortmund.

Di Malaysia, Kelantan dan Pulau Pinang antara yang telah menyuarakan mengenai hasrat itu.

 Foto : The Star

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.