Naturalisasi bukan tiket automatik untuk wakili Harimau Malaya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Status sebagai pemain naturalisasi bukan tiket automatik untuk seseorang pemain itu dipanggil menyarung jersi negara.

Demikian tegas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi.

Arena bolasepak tanah air dijangka menyaksikan kebanjiran lebih ramai pemain naturalisasi selepas Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi yang merupakan dua pemain pertama dinaturalisasikan untuk bermain dengan Harimau Malaya.

Mohamadou Sumareh dinaturalisasikan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang manakala Liridon Krasniqi pula oleh FAM sendiri, tetapi sehingga kini hanya Sumareh yang pernah membuat penampilan dengan pasukan kebangsaan bermula 2018.

Beberapa nama bakal menyusuli mereka antaranya penyerang Perak, Guilherme De Paula serta Gonzalo Cabrera dan Endrick Dos Santos Parafita sepertimana dimaklumkan pemilik Johor Darul Takzim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bulan lalu.

Terbaru, Sri Pahang FC juga diberitakan mahu menaturalisasikan dua pemain yang akan cukup syarat pada tahun depan, iaitu pemain tengah Lee Tuck dan penyerang Sergio Aguero.

Pengendali Sri Pahang FC, Thomas Dooley berkata mereka akan menggunakan Sergio Aguero hanya pada musim 2022 sebagai pemain tempatan dan buat masa ini akan meminjamkannya ke pasukan lain manakala hasrat menaturalisasikan Lee Tuck memang sudah lama kedengaran.

Bagi Yusoff Mahadi, usaha Pahang untuk menaturalisasikan pemain-pemain yang sudah cukup syarat FIFA wajar disambut baik dan merupakan langkah positif.

FIFA menetapkan seseorang pemain import perlu sekurang-kurangnya bermain lima tahun berturut-turut di liga sesebuah negara untuk dinaturalisasikan.

“Kalau kita tengok pemain naturalisasi pertama kita pun, Sumareh datang daripada Pahang dan bukan melalui FAM.

“Jadi maknanya Pahang sudah ada pengalaman untuk mendapatkan kelulusan pemain, jadi itu mungkin memberi idea kepada Pahang untuk menambah pemain naturalisasi kepada pasukan mereka.

“Jadi pada kita tak menghalang untuk pasukan menaturalisasikan mana-mana pemain yang mereka fikir berpotensi untuk mewakili pasukan masing-masing.

“Tetapi untuk mewakili negara kita akan menilai prestasi pemain itu melalui Jawatankuasa Teknikal dan kalau dilihat sesuai kita akan panggil mereka untuk bermain dengan pasukan kebangsaan,” kata Yusoff Mahadi seperti dilaporkan Harian Metro.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.