Jaringan tunggal ayam tambatan Azhad Harraz Arman pada minit ke-77 membantu Skuad Projek FAM-MSN melakar kejutan besar menewaskan Kelantan United 1-0 di Kota Bharu, sekaligus menghadiahkan kemenangan sulung buat pasukan itu selepas 18 perlawanan.
Skuad Projek yang dibarisi pemain-pemain lepasan sekolah berusia bawah 20 tahun sebelum ini seri tiga kali dan tewas 14 kali, dengan rata-rata kekalahan mereka alami adalah dengan jaringan besar lantas dianggap sebagai lubuk tiga mata dalam saingan Liga Premier.
Malah ketika aksi pusingan pertama pada April lalu, Kelantan United sendiri mencatat kemenangan 3-0 ke atas Skuad Projek kendalian Yusri Che Lah.
Kekalahan memalukan ini jelas membuatkan pengendali Kelantan United, Nazrulerwan Makmor tergamam, terkilan dan hilang kata-kata.
“Saya terkejut, (memang) saya pun terkejut. Pemain kami tidak berdisiplin terutama ketika bertahan. Kami dah bagi arahan tak boleh bagi pemain skuad projek bermain bola, dan mereka tidak melakukan dengan sepenuh (hati).
“Satu lagi, mungkin mereka memandang rendah skuad projek, saya dah cakap jangan pandang rendah kerana pemain skuad projek boleh bermain 95 minit, bukan 90 minit. Jadi inilah akibatnya.
“Ada sesetengah pemain tidak memberikan komitmen 100 peratus, mereka akan diketepikan dalam perlawanan seterusnya bertemu Kuching,” ujar Nazrulerwan selepas tamat permainan.
Nazrulerwan juga mempertahankan keputusannya menurunkan beberapa pemain muda dengan mengatakan bahawa ia untuk mengimbangi kekuatan Skuad Projek.
Dalam pada itu, Yusri Che Lah pula menganggap kemenangan pertama sebagai hadiah dan rezeki yang diberikan Allah di atas usaha keras dan kejujuran pemainnya.
“Kita datang ke sini dengan sasaran tidak lepaskan banyak gol, kerana dalam dua perlawanan terdahulu kita bolos 5 dan 4 gol. Kami bermain tidaklah begitu bagus, tapi kami ambil peluang, ianya hadir dalam keadaan yang amat-amat kami perlukan,” katanya sambil berharap kemenangan ini membuktikan kepada pengkritik bahawa pasukan ini akan bertambah baik jika terus diberikan sokongan.
Kekalahan buat Kelantan United menyaksikan pasukan itu menghuni tangga kelapan daripada 11 pasukan dengan 17 mata, dengan baki dua sahaja perlawanan untuk diharungi.