Nazzab yakin Harimau Malaya gagal jika kekalahan berlaku lagi di Bahrain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain kebangsaan, Nazzab Hidzan tidak dapat menerima kekalahan besar Malaysia di tangan Kuwait dalam perlawanan latihan yang berlangsung pada lewat malam Ahad lalu.

Walaupun ramai yang melontarkan komen positif dan tidak terlalu mengkritik kekalahan tersebut kerana ia hanyalah perlawanan latihan yang tidak dikira mata, perlawanan antarabangsa pertama dalam tempoh 19 bulan, peluang untuk Tan Cheng Hoe menguji pemain dan sebagainya, Nazzab Hidzan mempunyai pandangan berbeza.

“Di dalam memberi komen positif, kita kena juga bagi komen negatif, sebab kalau nak kata eksperimen, pemain-pemain yang dipilih adalah pemain utama dalam kelab mereka. Kalau nak kata biarlah kalah perlawanan ujian, kita tak boleh kalah sebenarnya, kalah 4-1 sangat besar bagi saya, kalau 1-0, 2-1 boleh diperbaiki kesilapan.

“Saya rasa ini satu kelemahan sangat ketara sebelum berdepan situasi (perlawanan) sebenar, Kuwait pun takda perlawanan antarabangsa, dan mereka juga baru sahaja berkumpul. Kalau dilihat dari segi profesional, mereka baru habis (liga), bukan lama sangat berehat.

“Tak patut kita cakap pemain perlu masa sesuaikan diri, tak, mereka profesional, walaupun perlawanan itu takde ranking, takde mata, sepatutnya harus pertahankan nama Malaysia, di situlah menampakkan kualiti kita di peringkat antarabangsa, berapa lama nak eksperimen.

“Kalau nak kata perlawanan pertama selepas 19 bulan, pemain-pemain bukannya tak bermain, sepatutnya kita mendapatkan keputusan positif pada perlawanan persahabatan ini, dan saya nampak terlampau banyak kelemahan perlu diatasi, kita akan menentang Bahrain selepas ini, saya harap ada keputusan positif, kalau positif moral pemain akan naik untuk hadapi pusingan kelayakan (Piala Dunia/Piala Asia),” kata Nazzab Hidzan.

Selain menegur Tan Cheng Hoe supaya tidak beralasan, Nazzab Hidzan juga tegas mengatakan Harimau Malaya akan gagal di pusingan kelayakan Jun depan jika gagal untuk mendapatkan keputusan positif menentang Bahrain pada 28 Mei.

“Tak boleh ada mentaliti takpe kalah perlawanan latihan jer pun, bayangkan kalau kalah 4-1 dalam perlawanan kelayakan. Semua jurulatih akan cakap macam tu (belum serasi, nak uji pemain), Tan Cheng Hoe pastinya tahu siapa yang boleh main siapa yang tidak kerana semua pemain adalah pemain utama kelab mereka.

“Saya nampak kalau berlaku lagi (kekalahan besar) dalam perlawanan menentang Bahrain, bermakna mereka akan gagal dalam perlawanan yang sebenar nanti.”

Harimau Malaya akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun, disusuli Vietnam pada 11 Jun dan menutup tirai aksi Kumpulan G dengan menentang Thailand pada 15 Jun.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.