Negeri Sembilan Bertuah Kerana Bisa Sentuhan K.Devan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyokong Negeri Sembilan FC perlu berterima kasih kepada pengendali pasukan itu, K.Devan atas kejayaan menjulang trofi Liga Premier 2021.

Skuad hoben jang hoben muncul juara selepas menundukkan PDRM FC 4-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Selasa sekaligus menamatkan penantian 10 tahun untuk mendakap trofi.

Kali terakhir Negeri Sembilan merasai nikmat bergelar juara adalah ketika memenangi TM Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Shah Alam pada 2011.

Menariknya ia juga trofi pertama buat K.Devan selepas 11 tahun, kali terakhir jurulatih berusia 60 tahun itu membawa pasukan bimbingannya bergelar juara adalah ketika menjulang Liga Super 2010 bersama Selangor.

Setelah mengharungi musim yang cukup mencabar, pengendali berpengalaman luas itu memenangi persaingan tiga penjuru melibatkan Sarawak United FC dan Terengganu FC II pada hari terakhir.

Secara keseluruhan, Negeri Sembilan melakar 12 kemenangan, 5 keputusan seri dan 3 kekalahan untuk mengakhiri musim dengan 41 mata, tiga mata mengatasi Sarawak United.

Devan mengakui persembahan anak-anak buahnya sedikit longgar ketika melayan kunjungan PDRM FC di sebalik melakar kemenangan mutlak ke atas skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail di laman sendiri.

Jelas Devan, beliau akui tidak senang melihat dengan persembahan Negeri Sembilan FC selepas dibocori sebanyak dua kali tetapi perasaannya kembali ceria selepas keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

“Saya berpendapat kita bermula dengan baik selepas mengatasi mendahului selesa 3-0 dan dua gol yang kita bolos itu mungkin saya rasa saya kurang berpuas hati.

“Itu menyebabkan ‘mood’ saya berubah sedikit tetapi selepas itu kita berjaya lagi (menjaringkan gol keempat).

“Tahniah saya ucapkan kepada Negeri Sembilan FC kerana berjaya (memenangi Liga Premier) dan jika kita lihat pada musim ini, Negeri Sembilan FC cuba konsisten dan pemain-pemain telah berusaha keras,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Dalam perkembangan sama, Devan menyifatkan bahawa Negeri Sembilan FC masih memiliki potensi besar dalam kempen Liga Super 2022 biarpun beliau banyak melakukan perubahan drastik dalam pasukan bimbingannya.

Berbekalkan pengalaman-pengalaman pemain senior, Devan yang sebelum ini telah membantu Negeri Sembilan FC menjulang kejuaraan Liga Super pada tahun 2005, yakin bahawa Negeri Sembilan FC dapat mengekalkan persembahan positif terutama menjelang kejohanan TM Piala Malaysia 2021 yang bakal membuka tirai pada 26 September 2021.

“Bagi saya, pasukan kali ini umpama satu keluarga yang cukup kuat dan kita mempunyai sembilan pemain senior yang mempunyai karakter cukup baik seperti Mohamad Zaquan Adha, Nasrullah Haniff dan lain-lain lagi.

“Merekalah yang menyatukan pasukan ini dan memberikan bimbingan kepada pemain-pemain muda.

“Pada awal saya bersama Negeri Sembilan FC, saya masih berada di fasa awal dalam karier kejurulatihan saya dan saya berjaya bersama Negeri Sembilan FC.

“Saya hanya tukarkan tiga pemain daripada pasukan 2020 dan sehingga kita menubuhkan pasukan ini, jadi cabaran itu sangat besar kerana pasukan baharu terdiri daripada semua pemain baharu dan juga kita perlu layak ke Liga Super.

“Namun kali ini saya datang dengan misi selepas pasukan ini tidak layak ke Liga Super dalam tempoh seketika dan bila saya menyertai pasukan ini, saya datang dengan tanggungjawab yang besar apabila kita perlu membuat perubahan yang drastik kepada pasukan tahun lalu,” ujarnya.

Bagi kempen TM Piala Malaysia 2021, Negeri Sembilan FC akan menyertai Kumpulan C bersama Kedah Darul Aman FC, Melaka United FC dan pasukan yang menduduki tangga kelima Liga Premier.

Penentuan kedudukan tangga kelima masih terbuka buat PDRM yang mencatatkan 26 mata dan Kelantan United yang mengutip 23 mata.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.