Negeri Sembilan Buat Bantahan, Tapi MFL Yang Dapat RM30,000?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Negeri Sembilan baru-baru ini telah mengemukakan bantahan kepada Malaysian Football League berhubung perlanggaran peraturan perlawanan oleh Kelantan FC ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Liga Premier.

Dalam perlawanan dimenangi Kelantan FC 2-1 di Kota Bharu pada 27 Ogos itu, Kelantan FC telah melanggar peraturan ditetapkan berhubung pertukaran pemain.

Setiap pasukan boleh membuat lima pertukaran pemain, tetapi pertukaran hanya boleh dibuat sebanyak tiga kali supaya tidak menganggu kelancaran perlawanan.

Kelantan FC bagaimanapun membuat pertukaran sebanyak empat kali, justeru Negeri Sembilan pada 30 Ogos telah mengemukakan bantahan mengenai perkara itu kepada MFL.

Laporan oleh portal Cakap Sukan mendedahkan, MFL telah mengadakan Mesyuarat Khas Pertama (2021-2025) pada 3 September lalu dan keputusan mesyuarat difahamkan Kelantan FC dikenakan denda sebanyak RM30,000 dan amaran keras supaya perkara ini tidak diulangi.

Tindakan sewajarnya turut diambil oleh MFL terhadap Koordinator Perlawanan, Komisioner Perlawanan dan Pegawai-Pegawai perlawanan.

Tetapi keputusan itu nyata tidak disenangi kem Negeri Sembilan, justeru Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) YTM KOL (K) Kehormat Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, yang juga Pengerusi NSFC menegaskan mereka akan membuat rayuan berdasarkan keputusan yang diterima.

Walaupun telah mengesahkan slot ke Liga Super 2022, Negeri Sembilan tetap mengharapkan tiga mata tersebut untuk terus menyaingi Sarawak United bagi merebut kejuaraan Liga Premier.

Persoalan yang timbul, Kelantan FC melanggar peraturan, Negeri Sembilan kemuka bantahan, MFL kenakan denda RM30,000 dan memberikan amaran kepada Kelantan.

Jadi, Negeri Sembilan yang buat bantahan dapat apa, terlopong?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.