Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakNegeri Sembilan FC kempunan, tak dapat kelulusan rentas negeri

Negeri Sembilan FC kempunan, tak dapat kelulusan rentas negeri

Negeri Sembilan FC semakin kesuntukan masa untuk menguji barisan pemain sebelum saingan Liga Premier 2021 kembali bersambung pada 24 Julai depan.

Pasukan bimbingan K.Devan itu sepatutnya turun menentang pasukan Liga Super Perak FC di Ipoh dalam aksi persahabatan pada Rabu, namun terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan rentas negeri daripada pihak berkuasa tempatan.

Seperti diketahui, Negeri Sembilan FC merupakan negeri yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dengan hanya kira-kira seminggu sahaja lagi sebelum aksi menentang Selangor II, skuad dengan jolokan Hoben Jang Hoben itu nampaknya hanya akan dapat beradu kekuatan menerusi ‘sparring match’ sesama sendiri.

Setakat ini belum ada pengumuman daripada Negeri Sembilan FC sama ada mereka akan kekal beraksi di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi bagi mengharungi baki saingan memandangkan Malaysian Football League (MFL) sebelum ini ada meminta pasukan-pasukan yang berada di kawasan PKPD mencari venue baru.

Menerusi kenyataan rasmi pasukan, venue baru hanya akan ditentukan sekiranya PKPD bersambung. Berdasarkan jadual, Negeri Sembilan FC hanya akan bermain tiga perlawanan di Paroi termasuklah menentang Selangor II pada 24 Julai.

Sebagai rekod, Negeri Sembilan FC sebelum ini telah menyuntik kekuatan pasukan dengan mendapatkan dua pemain import baru iaitu Arthur Cunha dan Francis Kone bagi mencabar secara serius kejuaraan Liga Premier.

“Kita buat pertukaran di pertahanan tengah kerana nampak di pusingan awal, Fernando Barbosa ini kurang berkomunikasi dengan pemain yang lain serta persefahaman tidak mencapai seperti mana yang kita harapkan.

“Tujuan kita mahu mendapatkan pemain import di pertahanan adalah untuk mengawal bahagian bawah serta menjadi ketua kepada semua pemain di benteng, kedua-dua fungsi ini tidak dapat dijalankan oleh Fernando.

“Jadi, kami mengambil Artur Cunha yang telah lama berada di Indonesia dan mampu memahami bahasa Melayu kerana boleh bertutur bahasa Indonesia malah dia seorang yang mampu bergaul dengan baik dengan pemain tempatan.

“Manakala Kone seperti kita tahu pernah bermain di sini dan saya rasa dia akan pantas menyesuaikan diri bagi menggantikan Rafael Gomes yang tidak begitu efektif apabila sekadar menjaringkan satu gol dan satu bantuan jaringan selepas 11 perlawanan.

“Kone mempunyai kualiti yang baik dalam aspek perebutan bola di udara, satu situasi yang akan berikan kita pilihan dalam cuba menjaringkan gol semasa situasi set piece selain dia mampu menjadi pengumpan yang baik,” kata K.Devan.

Devan juga berpendapat kehadiran semula Abdul Halim Zainal menambahkan lagi pilihan di barisan tengah berikutan mereka hanya mempunyai empat sahaja pemain di posisi tersebut sebelum ini.

Biarpun sudah menjangkau usia 33 tahun, pengalaman Halim yang juga merupakan anak jati Negeri Sembilan dijangka mampu membantu Devan jika pasukan jika berdepan masalah kecederaan atau penggantungan pemain.

“Negeri Sembilan FC musim ini memiliki skuad yang kecil sahaja iaitu 22 pemain termasuk tiga penjaga gol dan kami memasukkan dua pemain Piala Presiden, yang menjadikan 24 secara keseluruhan.

“Daripada senarai itu, kami hanya ada Barath Kumar, Saiful Ridzuwan, Bae Beom Geun dan Fahmi Faizal boleh bermain di bahagian tengah dan berdasarkan pengalaman selepas lalui 11 perlawanan, kami memerlukan seorang lagi pemain di posisi ini.

“Jadi, Halim Zainal menjadi pemain paling sesuai berdasarkan pengalamannya serta dia mampu cepat menyesuaikan diri dan saya rasa kami tidak boleh mendapat pemain dengan kualiti sepertinya pada pintu perpindahan kedua ini,” katanya.

Seorang lagi pemain tempatan yang dibawa masuk Negeri Sembilan FC adalah bekas pemain Kedah Darul Aman, Penang dan UiTM, Zulkhairi Zulkeply yang merupakan seorang pertahanan.

Mengenai persaingan Liga Premier bersama Sarawak United, Devan menyatakan sasaran utama adalah untuk memburu slot ke Liga Super sebelum memikirkan kejuaraan.

“Liga Super adalah sasaran kami dan harap pada baki saingan kali ini, kami akan terus dapat bermain dengan baik namun dalam masa sama, jika ada peluang meraih tempat pertama, kami akan cuba.

“Saya optimis Negeri Sembilan ada kualiti bersaing dengan Sarawak dan harap pemain mampu sentiasa fokus dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan,” katanya.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.