Negeri Sembilan Hilang Momentum, Apo Kono Eh Jang?

Negeri Sembilan FC
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad Negeri Sembilan FC sepatutnya sedang mendahului Liga Premier 2021 berikutan Sarawak United belum turun beraksi sejak saingan bersambung semula pada 24 Julai lalu, namun malangnya mereka tidak menggunakan kesempatan itu sebaik mungkin.

Mereka seri tanpa jaringan menentang Selangor II dan kemudiannya tewas 0-1 kepada Terengganu FC II sekaligus tercicir lima mata penting, menyaksikan mereka kini kekal di tangga kedua dengan beza satu mata di belakang Sarawak United dan sudah bermain lebih dua perlawanan.

Malah secara keseluruhan mereka hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir, iaitu pada 2 Mei lalu menewaskan PDRM FC.

Pemain tengah, R.Barathkumar menganggap rehat terlalu panjang tanpa sebarang perlawanan persahabatan memberi kesan besar kepada momentum Negeri Sembilan FC sekaligus sedikit menganggu peluang mereka untuk mencabar kejuaraan Liga Premier.

“Semasa liga berehat, kami tidak dapat keluar mengadakan perlawanan persahabatan ekoran status PKPD (Perintah Kawalan Perintah Diperketatkan), berbeza dengan kebanyakan pasukan lain.

“Situasi itu ada bagi kesan buat kami dalam cuba mendapatkan momentum seperti dalam perlawanan sebenar dan memang saya serta rakan-rakan sangat kecewa kerana gagal mencapai sebarang kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini.

“Saya faham penyokong Negeri Sembilan FC juga sangat kecewa apabila sekadar seri pada perlawanan pertama kerana sememangnya kami letakkan meraih tiga mata dan selepas itu gagal di Terengganu apabila tewas 0-1 .

“Jadi dalam dua perlawanan akan datang (Perak FC II dan Skuad Projek FAM-MSN), kami letak sasaran meraih enam mata maksimum bagi mengukuhkan kembali peluang mencabar kejuaraan,” katanya.

Negeri Sembilan bimbingan K.Devan telah memantapkan pasukan dengan merekrut Francis Kone serta beberapa tempatan seperti Halim Zainal dan Zulkhairi Zulkeply, namun kehadiran mereka belum memberikan impak manakala Arthur Cunha pula masih belum pulih dari kecederaan.

“Dua perlawanan sebelum ini dia (Francis Kone) tidak berapa menjadi tetapi nampak dia sedang berusaha dengan lebih baik untuk membina keserasian dengan pemain-pemain dalam sesi latihan.

“Kami nampak dia ada sentuhan jaringan selaku seorang penyerang dan harap kehadirannya akan mula beri kesan dalam perlawanan akan datang bermula dengan Perak FC II.

“Memang kami berada dalam situasi yang kurang menyenangkan kerana gagal ambil peluang untuk berada di tangga teratas apabila Sarawak United tidak turun dalam dua perlawanan.

“Namun dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku, justeru kami mahu berikan fokus terhadap aksi sendiri terlebih dahulu sebelum memikirkan peluang mengenai kejuaraan Liga Premier,” katanya.

Negeri Sembilan FC akan bertemu Perak FC II di Paroi pada Sabtu sebelum bertandang ke Stadium UiTM Shah Alam pada 4 Ogos bagi menentang Skuad Projek FAM-MSN.

Kredit foto : Negeri Sembilan Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.