Negeri Sembilan Juara Liga Premier 2021, Dua Pasukan Sambar Tiket Piala Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Negeri Sembilan FC menjulang trofi Liga Premier 2021 setelah melakar kemenangan 4-2 ke atas PDRM FC dalam aksi terakhir yang berlangsung di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi.

Skuad bimbingan K.Devan menamatkan musim dengan mengumpul 41 mata, tiga mata mengatasi Sarawak United dan enam mata mengatasi pasukan tangga ketiga Terengganu FC II.

Skuad bimbingan K.Devan mendahului selesa 3-0 selepas satu jam perlawanan berlangsung menerusi jaringan R.Baratkumar (m-26), Eskandar Ismail (gol sendiri, m-39) dan Alain Akono (m-61).

Namun PDRM kemudiannya cuba mengejar apabila menjaringkan dua gol menerusi R.Durkeswaran (m-64) dan Azrie Reza (m-72) untuk menjadikan kedudukan 2-3.

Jaringan pemain gantian Fahmi Faizal pada minit ke-75 bagaimanapun mengesahkan tiga mata dan menghadiahkan trofi pertama buat Negeri Sembilan dalam tempoh satu dekad.

Kali terakhir mereka menjulang kejuaraan adalah pada 2011 apabila memenangi Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu.

Sementara itu, Sarawak United mengakhiri musim dengan keputusan seri 1-1 menentang Johor Darul Takzim II.

Skuad bimbingan E.Elavarasan mendahului menerusi jaringan Uche Agba pada minit keempat manakala JDT II beroleh gol penyamaan pada lewat permainan menerusi Stuart Wilkin.

Terengganu FC II pula dikejutkan dengan kekalahan 0-1 di tangan Kelantan United di Kuala Terengganu, menerusi jaringan tunggal Hakim Ismail pada minit ke-19.

Sementara itu Kelantan FC mengesahkan tempat di Piala Malaysia setelah membenam Selangor II dengan keputusan 2-1 di Kota Bharu.

Gol buat skuad bimbingan Reezal Zambery Yahya dijaringkan Nursyamil Abd Ghani (m-25) dan Syed Sobri (m-38) manakala Selangor II membalas menerusi Syazwan Salihin (m-23).

Kuching City turut menyambar tiket ke Piala Malaysia setelah menang 2-0 ke atas Perak II menerusi jaringan Irwan Syazmin dan Aylton Alemao.

Satu lagi slot Piala Malaysia masih menjadi buruan di antara Kelantan United dan PDRM FC, ianya akan terjawab pada Jumaat ini selepas aksi terakhir antara Kuching City menentang Kelantan United.

Jika Kelantan United menang ke atas Kuching (dengan jaringan besar), mereka akan mendapat tiket terakhir tetapi jika tewas ianya akan menjadi milik PDRM FC.

Foto ehsan : TRW Kelantan FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.