“Niat Saya Turun Laut Tolong Keluarga” – Shahrul Nizam Kecewa Jadi Sasaran Kecaman

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Nama Shahrul Nizam Ros Hasni menjadi trending dalam kalangan penyokong bolasepak tanah air sejak sehari dua ini, berikutan kegagalannya melaporkan diri ke kem latihan skuad kebangsaan.

Pertahanan Terengganu FC itu disenaraikan sebagai pengganti saat akhir kepada Dion Cools yang terpaksa digugurkan kerana kecederaan.

Namun sayang sekali selepas menunggu sehingga lewat malam Jumaat, dia tidak kunjung tiba dan gagal dikesan menyebabkan barisan kejurulatihan memutuskan untuk terbang ke Jordan tanpa kelibatnya.

Pemain kelahiran Kelantan itu ketika dihubungi LABOLA MALAYA berkata, dia cukup sedih dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepadanya sedangkan dia langsung tidak menyangka namanya akan berada dalam senarai call-up.

“Jujur cakap, semua pemain teringin menyarung jersi kebangsaan. Ia seperti impian menjadi kenyataan. Kalau saya tahu tidak mungkin saya lepaskan peluang ini.

“Pengurusan pasukan memberi cuti selama lima hari selepas perlawanan menentang Selangor, jadi memang saya tiada perancangan lain dan terus balik kampung.

“Sampai di kampung saya turun ke laut. Kami keluarga nelayan. Niat saya tak lain turun ke laut membantu keluarga tapi bila sampai ke darat, baru saya dapat tahu tentang perkara ini (dipanggil melapor diri ke kem latihan kebangsaan) dan terkejut.

“Ia sudah terlewat, pasukan sudah pun terbang ke Jordan. Tetapi yang membuatkan saya kecewa dan moral saya terjejas teruk, saya dilabel tidak menghormati panggilan kebangsaan, saya dikatakan tidak serius dan macam-macam tohmahan lain.

“Saya minta maaf, dan saya harap akan diberi peluang lagi di masa akan datang,” ujar pemain kelahiran Bachok itu.

Sebagai rekod, Shahrul Nizam yang memulakan karier profesional bersama Kelantan FC, pernah beraksi bersama skuad B-23 kebangsaan di Sukan Sea dan Kejohanan AFF B-22 pada 2019.

Tahun ini dia menjadi tonggak utama yang memperkuatkan benteng terakhir skuad Terengganu FC dan membantu pasukan itu menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.