Nick Swirad perkasa pertahanan Sri Pahang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Teka-teki mengenai hala tuju karier pemain berdarah kacukan Nicholas Ryan Swirad terjawab apabila pemain itu akan menjadi rekrut terbaru Sri Pahang kendalian Dollah Salleh pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2021.

Pemain itu menjadi pemain kelima dibawa masuk Sri Pahang di jendela perpindahan kedua selepas terdahulu mendapatkan khidmat empat pemain import baru iaitu Abu Bakar Yakubu, Aung Kaung Mann, Manuel Hidalgo dan Kenny Athiu.

Nick Swirad sebelum ini dikaitkan dengan beberapa pasukan termasuklah Kedah Darul Aman setelah kelibatnya dilihat berada di Stadium Darul Aman ketika perlawanan antara KDA dan Johor Darul Takzim.

Pemain berusia 30 tahun kelahiran Manchester itu pernah bermain dengan beberapa kelab divisyen bawahan di England sebelum berhijrah ke Liga Malaysia pada 2016 dengan menyarung jersi Johor Darul Takzim II.

Musim berikutnya dia bermain untuk Melaka United dan menyertai PKNS FC (Selangor II) pada 2019, sebelum disambar Selangor bimbingan B.Sathianathan pada 2020.

Selepas meninggalkan Selangor FC pada permulaan musim ini, Nick Swirad telah mengambil langkah besar ke saingan Thai League 2 bersama Nongbua Pitchaya.

Bersama pasukan itu hanya untuk tempoh kontrak dua bulan, Nick Swirad membantu kelab itu meraih kejuaraan Thai League 2 dan layak ke saingan utama musim depan, namun sayang sekali kekurangan penampilan bersama skuad Harimau Malaya menyebabkan dia tidak dibenarkan beraksi di Liga Satu Thailand.

Sebagai rekod, Nick Swirad pernah dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan pada Mac 2019 tetapi tidak berjaya meraih penampilan sulung berikutan kecederaan.

Kehadiran pemain ini akan memberi lebih pilihan untuk Dollah Salleh yang sedia mempunyai kelibat Muslim Ahmad dan Herold Mark Goulon di jantung pertahanan, apatah lagi barisan defensif Sri Pahang merupakan yang kedua terbanyak melepaskan gol musim ini selepas Uitm FC.

Pasukan tok gajah ketika ini dalam misi getir untuk menyelamatkan diri dari tersingkir ke Liga Premier musim depan – selepas 13 perlawanan mereka berada di tangga kesembilan dengan 12 mata dan ianya dijangka akan menjadi pertarungan empat penjuru antara Sri Pahang, Melaka United, Perak FC dan Uitm FC untuk mengelak daripada tersingkir.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.