Nidzam akui sukar pantau aktiviti pemain, namun yakin masing-masing tahu tanggungjawab

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Biarpun ‘cuti panjang’ diberikan susulan penangguhan Liga Malaysia, tidak bermakna pemain-pemain boleh goyang kaki.

Semua pemain perlu menunjukkan sikap profesional serta menerapkan disiplin tinggi dalam mengekalkan tahap kecergasan biarpun terpaksa berlatih di rumah agar sentiasa bersedia sekiranya saingan Liga Malaysia dapat dimulakan selepas tempoh kawalan pergerakan berakhir pada 14 April nanti.

Demikian pendapat ketua jurulatih FELDA United FC, Nidzam Jamil yang mengakui sukar mengetahui apa yang sedang dilakukan barisan pemainnya walaupun beliau ada mengarahkan mereka melakukan aktiviti tertentu sepanjang berada di rumah.

“Kita ada bagi program kepada pemain buat sepanjang tempoh kawalan pergerakan tetapi saya tidaklah sampai minta bukti video kerana bagi saya, pemain tahu tanggungjawab mereka untuk sentiasa kekal cergas dan saya mempercayai mereka.

“Saya tidaklah ada sebarang kaedah tertentu dalam tempoh seperti ini kerana saya percaya latihan dalam bola sepak seharusnya bermula di atas padang.

“Memang saya akui rasa sukar buat mana-mana seorang pemain bola sepak berada di tahap kecergasan terbaik sekiranya hanya sekadar berlatih di rumah dengan turut dibantu jurulatih kecergasan. Jadi saya harap pemain-pemain akan cuba semaksimum mungkin kekal aktif serta disiplin dalam melakukan sebarang aktiviti fizikal kerana apabila latihan kembali bersambung, mereka masih kekal di tahap terbaik dan tidak ada sebarang masalah kesihatan,” katanya.

FELDA kini berkedudukan tangga kelima CIMB Liga Super dan mula mendapat rentak sebelum saingan Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan bermula 16 Mac lalu selepas meraih satu kemenangan dan dua keputusan seri.

Aksi terakhir mereka di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menyaksikan mereka berjaya mencuri satu mata apabila mengikat juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melalui keputusan 1-1.

Dalam pada itu, Nidzam mengharapkan Malaysian Football League (MFL) akan memberikan masa bersesuaian kepada semua pasukan melakukan persiapan sekiranya liga dapat bersambung selepas tempoh kawalan pergerakan berakhir.

Dia mengakui semua pasukan seolah-olah terpaksa bermula daripada awal dalam soal persiapan selain menjangkakan pemain perlu mengharungi jadual yang lebih ketat.

“Sebelum liga kembali bersambung jika isu COVID-19 ini reda, saya mengharapkan kerjasama MFL dan mungkin boleh bertanyakan juga pandangan tiap jurulatih yang kena menyiapkan semua pemain untuk mengharungi baki perlawanan dalam tempoh enam ke tujuh bulan ini.

“Bila liga terpaksa ditunda sebegini, segalanya termasuk program latihan dan kecergasan kena memerlukan sedikit masa bagi memastikan pemain betul-betul bersedia.

“Jadi semua orang kena sepakat dalam soal ini dan mendapatkan jalan tengah supaya pasukan serta pemain benar-benar bersedia kerana banyak aspek perlu direncanakan semula agar liga kita dapat disambung dalam keadaan kembali meriah,” katanya.

Foto : Felda United FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.