Nik Akif Sertai Kelantan United Secara Pinjaman

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelab Liga Premier, Kelantan United pada Jumaat mengumumkan telah membawa masuk anak jati negeri, Nik Akif Syahiran Nik Mat secara pinjaman daripada Terengganu FC sehingga akhir musim ini.

Bekas kapten Kelantan itu yang berhijrah menyertai Terengganu pada musim 2021 kehilangan tempatnya dalam skuad bimbingan Nafuzi Zain musim ini berikutan persaingan sengit di posisi tengah, menyaksikannya hanya membuat beberapa penampilan.

Kelantan United yang sedang dalam usaha untuk memburu tiket ke Liga Super musim depan memanfaatkan situasi tersebut untuk memancing pemain berusia 23 tahun ini, yang merupakan tonggak skuad B-23 kebangsaan di Sukan SEA 2021 dan juga Piala AFC B-23 baru-baru ini.

“Kehadiran Nik Akif sudah pasti menambah sengat Sang Kijang Hijau dan memberi lebih pilihan kepada Syamsul Saad sementelah pula dia turut kembali bergabung bersama beberapa rakan sepasukan di Kelantan sebelum ini seperti Nik Azli, Khairul Rizam, Fikri Che Soh serta Amirul Shafik Che Soh.

“Buat Nik Akif Syahiran, selamat datang ke Kelantan United FC. Semoga kehadiran anda akan membantu kelab dan pasukan mencipta lebih banyak kejayaan dalam perlawanan pusingan kedua Liga Premier dan layak ke Piala Malaysia,” ujar kelab itu dalam satu kenyataan.

Nik Akif dijangka membuat penampilan sulung bersama Kelantan United yang kini di tangga kelima Liga Premier dalam aksi menentang Perak FC pada Sabtu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Sebagai rekod, Nik Akif merupakan produk Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pernah membarisi skuad Piala Presiden Kelantan pada tahun 2017 sebelum diserap ke skuad senior setahun kemudian, ketika usianya 19 tahun.

Di peringkat antarabangsa, selain skuad B-23 kendalian Brad Maloney, dia juga pernah mewakili pasukan B-19 dan pasukan senior kebangsaan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.