Nik Sharif Hassefy terkilan namun redha dengan takdir

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bintang muda meningkat naik Nik Sharif Haseefy Ahmad Lazim merupakan salah seorang pemain paling menyerlah dalam skuad Sri Pahang pada musim lalu di mana dia mencuri tumpuan ramai dengan aksi memukau.

Nik Sharif Hassefy mendapat peluang untuk menonjol selepas Sri Pahang kehilangan khidmat Mohamadou Sumareh yang meninggalkan pasukan dengan membatalkan kontrak secara sebelah pihak pada pertengahan musim, dan dia membalas kepercayaan diberikan Dollah Salleh.

Antara persembahan terbaiknya adalah menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut dan dilabel sebagai permata baru bolasepak Pahang.

Demi masa depan yang lebih baik, pemain sayap berusia 24 tahun itu membuat keputusan menyertai Selangor FC pada awal musim ini dengan harapan besar mahu meneruskan impak diciptanya itu seterusnya mengembangkan lagi karier.

Namun, sayang seribu kali sayang, 13 perlawanan berlalu, dia tidak membuat satupun penampilan bersama skuad Red Giants bimbingan Karsten Neitzel, semuanya gara-gara kecederaan buku lali serius yang dialami ketika sesi latihan beberapa hari sebelum saingan Liga Super 2021 membuka tirai.

Setelah tersisih kira-kira lebih dua bulan, kini pemain berasal dari Kuantan itu sudah kembali ke latihan penuh dan bersedia untuk merebut semula tempat di dalam pasukan.

“Saya pun tidak sangka situasi ini berlaku, sudah tentu saya tidak sabar untuk beraksi. Tengok rakan sepasukan berjuang di atas padang membuatkan saya gian tapi nak buat macam mana takdirnya begini, saya perlu bersabar sahajalah.

“Memang rasa terkilan kerana banyak perlawanan yang mampu kami menangi tapi kami tidak dapat meraih mata penuh. Saya hanya mampu berdoa tapi memang berharap sangat untuk beraksi.

“Saya tidak pernah berehat panjang. Saya pernah menderita kecederaan ini tapi kali ini paling teruk. Ini satu pengalaman baru untuk saya menguatkan mental. Alhamdulillah sudah pulih 100 peratus dan sudah kembali berlatih,” kata Nik Sharif Haseefy kepada Astro Arena.

Sebagai rekod, Selangor FC yang memulakan musim dengan label selaku pencabar kejuaraan ketika ini berada di kedudukan kelima dengan 19 mata hasil lima kemenangan dan empat keputusan seri, 11 mata dipisahkan dengan pendahulu Johor Darul Takzim.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.