Nik Shariff : ‘Terima kasih Pahang, keputusan ini demi masa depan saya’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pahang nampaknya kehilangan khidmat bintang muda meningkat naik Nik Shariff Haseefy Md Lazim setelah pemain itu membuat keputusan untuk berhijrah ke pasukan lain bagi saingan Liga Malaysia musim baru.

“Terima kasih penyokong yang selalu sokong saya, tapi satu jer saya nak tekankan, keputusan saya untuk masa depan saya, untuk keluarga saya, untuk mak saya. Mereka yang tak suka (dengan keputusan ini) tak tahu apa yang saya lalui,” kata Nik Shariff.

Nik Shariff antara pemain Pahang yang cukup menyerlah dan mencuri tumpuan musim ini, terima kasih kepada Mohamadou Sumareh kerana perpindahannya memberikan lebih peluang kepada pemain ini untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Dia yang beraksi di posisi sayap menamatkan musim 2020 dengan tiga jaringan dan dilabel sebagai salah seorang bintang masa depan skuad tok gajah.

Walaupun tidak menyatakan dengan jelas apa yang mendorong dia mahu angkat kaki, ramai yang membuat andaian ianya berkait rapat dengan masalah yang menghimpit kem Pahang musim ini terutama membabitkan isu tunggakan gaji dan ketiadaan bajet kukuh dalam kantung pengurusan.

Pada awal tahun ini Pahang membuat keputusan melepaskan kapten pasukan Matthew Davies menyertai Johor Darul Takzim, dan kemudiannya berlaku isu membabitkan Sumareh.

Sebaik Liga Malaysia 2020 diumumkan berakhir, Dickson Nwakaeme mengumumkan meninggalkan pasukan dan dia sudahpun terbang pulang ke Nigeria pada Jumaat lalu, ia disusuli oleh Faisal Halim yang ketika ini hangat dikaitkan dengan Terengganu FC.

Difahamkan pasukan baru yang akan disertai Nik Shariff adalah Selangor yang kini sedang aktif mempersiapkan pasukan susulan berakhirnya musim suram Liga Malaysia pada minggu lalu berikutan pembatalan pertandingan Piala Malaysia.

Dalam proses ‘pembersihan’ pasukan, Red Giants setakat ini telahpun melepaskan beberapa pemain antaranya Nicholas Swirad, Khyreel Muhymeen Zambri, Zahril Azri Zabri, Anwar Ibrahim, Farizal Harun, Rufino Segovia dan Taylor Regan, manakala nama-nama seperti Wan Zack Haikal dan Syazwan Zainon pula belum diketahui status mereka.

Baca : Brendan Gan kekal, Anwar Ibrahim disingkir, Quentin Cheng diserap

Beberapa laporan media tempatan menyebut mereka juga sedang berusaha mendapatkan penyerang Perak, Shahrel Fikri Fauzi serta bekas pemenang kasut emas Liga Super yang kini bermain dengan Kedah, Kpah Sherman.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.