“Nilai secara positif, jangan cakap TMJ riak atau berlagak”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyokong bolasepak tanah air diminta tidak cepat melatah dan membuat tanggapan salah terhadap kenyataan pemilik Johor Darul Takzim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini.

Sehari selepas tewas kepada Terengganu FC, Tunku Ismail menerusi komen di instagram menyatakan bahawa satu kekalahan tidak membuatkan JDT jatuh mahupun menidakkan fakta mengenai segala rekod dan pencapaian hebat mereka.

Malah beliau juga menyatakan bahawa “JDT akan kekal sebagai yang terbesar, nak bunuh JDT, kena matikan TMJ dulu. Well, semua sedia maklum itu bukan mudah”.

Kenyataan itu dianggap sebagai riak dan berlagak, namun pemerhati sukan tanah air, Dr Pekan Ramli punyai pandangan berbeza yang mahu ia dinilai dari sudut positif.

“Berdasarkan kenyataan terbabit, kita dapat memahami yang JDT sama sekali tidak akan memberi laluan mudah kepada mana-mana pasukan yang cuba mencabar mereka dan mereka tidak hanya akan terhenti di sini, mereka mahu pergi lebih jauh.

“Tunku Ismail pun bukanlah individu yang calang-calang dan beliau memang ada aura tersendiri. Kalaulah setakat orang biasa yang bercakap dan melakukan perkara yang biasa, saya fikir JDT tidak akan sampai ke tahap seperti ini.

“Kenyataan berbaur provokasi, ego yang tinggi pun bukanlah satu perkara yang pelik dalam sukan khususnya dalam bola sepak. Perkara ini satu kelaziman dalam bola sepak.

“Contohnya seperti Jose Mourinho, kita dapat lihat dia adalah pengurus dengan mulut yang lancang dan gemar bermain perang saraf. Ini pendekatan yang sama seperti apa yang dinyatakan Tunku Ismail menerusi kenyataan terbabit,” kata Pekan Ramli yang juga Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi.

Kekalahan kepada Terengganu pada Sabtu lalu bukan sahaja kekalahan pertama skuad harimau selatan musim ini, tetapi turut merupakan kekalaham pertama mereka dalam Liga Super selepas 22 perlawanan.

Selain itu, Terengganu FC turut mencipta sejarah sebagai pasukan pertama untuk menang di Stadium Sultan Ibrahim yang dirasmikan pada tahun lalu.

Di sebalik kekalahan itu, JDT bimbingan Benjamin Mora masih dalam landasan untuk mempertahankan gelaran Liga Super buat musim kelapan berturut-turut, ketika ini mereka mendahului carta dengan kelebihan dua mata.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.