Nixon Guylherme Yakin Kelantan Dalam Landasan Tepat Menjuarai Liga Premier 2022

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelantan FC meneruskan momentum kemenangan setelah membenam Selangor II dengan keputusan 1-0 pada Ahad lalu, yang membantu mereka untuk merampas semula kedudukan teratas Liga Premier 2022.

Pemain tengah Syed Sobri Syed Mohamad muncul wira dengan meledak jaringan tunggal perlawanan, tatkala penyerang import Nixon Guylherme pula terlepas beberapa peluang keemasan untuk menambah jumlah jaringan.

Ini jelas sedikit mengecewakan penyerang dari Brazil itu yang setakat ini baru menjaringkan tiga gol dalam lapan perlawanan.

“Memang kecewa kerana saya terlepas beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol dan sememangnya saya mahu mendapatkan seberapa banyak jaringan untuk pasukan.

“Namun rakan sepasukan lain telah melaksanakan tugas yang baik dan kami berjaya memperoleh kemenangan, fokus kami seterusnya ingin mendapatkan kemenangan pada aksi akan datang apabila bertemu Kelantan United,” kata Nixon Guylherme.

Nixon Guylherme yang berusia 27 tahun turut menganggap rekod cemerlang di gelanggang lawan setakat ini sebagai satu rekod yang pasti akan berikan sedikit kelebihan buat mereka dalam mendakap kejuaraan Liga Premier.

“Kami berjaya memenangi tujuh dari lapan perlawanan di tempat lawan dan apabila bakal bermain di tempat sendiri nanti, saya rasa ini akan berikan kami lebih keyakinan,” ujar Nixon lagi.

Kelantan ketika ini telah bermain kesemua perlawanan mereka (lapan Liga Premier, satu Piala FA) di tempat lawan berikutan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu belum dapat digunakan kerana kerja-kerja penambahbaikkan manakala sesi latihan pula diteruskan di Pusat Sukan USIM.

Di sebalik kekangan yang dihadapi, mereka tampil cemerlang di mana kemenangan ke atas Selangor II tempoh hari adalah kemenangan keempat berturut-turut. Kelantan cuma tewas sekali dalam saingan liga kepada Kuching City pada perlawanan keempat.

Skuad kendalian Rezal Zambery Yahya itu ketika ini memimpin carta liga dengan 21 mata, tiga mata mengatasi JDT II dan berpeluang cerah untuk layak ke Liga Super buat pertama kali selepas empat tahun bermain di Liga Premier.

Foto ehsan : TRW Kelantan FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.