Nokman rela KLFA kena saman dari tunduk kepada tuntutan Simon Elissetche

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Kami (KLFA) terima jika dikenakan hukuman oleh FIFA tetapi tidak akan tunduk kepada permintaan Simon (Elissetche),” kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur Nokman Mustaffa.

Nokman berkata demikian sebagai mengulas tindakan Simon Elissetche yang dibatalkan kontraknya secara sebelah pihak oleh KLFA sebelum ini mahu meneruskan saman ke atas persatuan itu, menerusi kenyataan dibuat peguamnya Zhafri Aminurashid.

Simon Elissetche diumumkan sebagai ketua jurulatih Kuala Lumpur City pada Disember lalu dan telah menandatangani kontrak dengan KLFA, tetapi kemudian dibatalkan kontrak dengan alasan lesen kejurulatihannya tak diiktiraf AFC.

KL City kemudian melantik Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih.

Situasi itu telah mendorongnya untuk memfailkan saman RM3.5 juta sebagai pampasan penamatan kontrak tanpa alasan munasabah dan tuntutan sivil kerana mencemarkan nama dengan tuduhan palsu sehingga menjejaskan karier kejurulatihannya di mana terdapat pasukan yang ragu-ragu untuk menggunakan khidmatnya.

Simon Elissetche bagaimanapun telah memberi talian hayat kepada KLFA untuk berunding dan menyelesaikan kes di luar mahkamah tetapi kecewa mereka hanya buat senyap selepas duduk berbincang lantas tidak ada jalan penyelesaian dicapai.

Menurut Nokman pula, “Setakat ini, kami sudah mengadakan sekali perjumpaan dengan Simon bagi mendapatkan kata sepakat dan penyelesaian terhadap isu yang berlaku.

“Ada beberapa tuntutan tidak dapat kami penuhi menyebabkan beliau mengambil tindakan membawa kes ke FIFA. Kami tidak mempunyai masalah jika dia nak teruskan saman dan terpulang kepadanya untuk mengambil tindakan. Kita tengok apa yang berlaku.”

Sebagai rekod, ketika isu ini mula-mula timbul, Nokman pernah memberitahu bahawa tindakan Simon Elissetche yang juga bekas ketua jurulatih Timor Leste mahu menyaman persatuan itu adalah tidak betul dan terburu-buru.

Dia juga menafikan KLFA menolak jurulatih itu sebaliknya menjadikan alasan penswastaan pasukan sebagai punca tidak dapat teruskan dengan perancangan menggunakan khidmatnya.

Menurutnya lagi jika Simon datang berbincang mungkin mereka boleh menawarkannya jawatan lain seperti Pengarah Teknikal atau jurulatih skuad B-21.

Kemungkinan besar itulah solusi ditawarkan KLFA kepada pengendali dari Chile itu yang tidak dipersetujuinya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.