Nur Herman Majid, Nama Ikonik Menjadi Siulan Peminat Sukan 90-an

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Generasi muda pada hari ini mungkin kurang mengenali Nur Herman Majid, tetapi bagi peminat sukan era 90-an, nama tersebut antara yang cukup ikonik.

Nur Herman Majid merupakan bekas jaguh lompat pagar tanah air yang mengekalkan dominasinya selama lebih sedekad dari tahun 1989 hingga 2001.

Malah, dia pernah menjadi pemegang rekod kebangsaan dalam acara lari 110m berpagar selama 23 tahun.

Rekod 13.73saat yang dilakukannya ketika memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Hiroshima, Jepun, pada 15 Oktober 1994 hanya berjaya dipadamkan pada Mei 2017 oleh Rayzam Shah Wan Sofian yang mencatatkan masa 13.64s ketika mewakili Malaysia di Kejohanan Olahraga B&S Kurpfalz Gala 2017 di Weinheim, Jerman.

Pencapaian itu juga menjadikannya pelari berpagar pertama Asia Tenggara berlari bawah 14 saat

Nur Herman Majid boleh dikatakan simbol kegemilangan olahraga tanah air pada 90-an.

Bermula dengan tempat keempat di Sukan Asia Beijing 1990, dia memenangi pingat emas di Kejohanan Asia dan selepas itu mengorak langkah lebih gemilang, terbabit dalam semua pertandingan besar termasuk dua kali layak ke Sukan Olimpik; Barcelona 1992 dan Atlanta 1996 (tarik diri kerana masalah kesihatan).

Di pentas Asia Tenggara, dominasinya bertahan selama 10 tahun apabila memenangi enam pingat emas Sukan SEA berturut-turut di Manila pada 1991, Singapura 1993, Chiang Mai 1995, Jakarta 1997, Brunei 1999 dan Kuala Lumpur pada 2001.

Pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1994, dia memahat nama sebagai legenda 110 meter lari berpagar – dan sehingga kini belum ada atlet yang dilihat mampu mengisi kekosongan ditinggalkan atau menghampiri pencapaiannya.

Nur Herman tidak pernah melupakan individu yang banyak berjasa dan memberi dorongan serta tunjuk ajar kepadanya termasuk jurulatih dari China yang digelarnya Prof Song, bekas atlit kebangsaan mendiang JV Jayan dan Hanafiah Nasir.

“Saya tidak akan mengecap semua kegemilangan dalam karier jika bukan kerana bekas jurulatih JV Jayan. Beliau yang mengesan dan mengilap bakat saya, saya berasal dari Rembau dan saya perlu berulang alik ke Seremban untuk berlatih selepas sekolah.

“Selepas habis latihan, saya akan pakai semula baju sekolah untuk balik naik bas, bolehlah dapat diskaun pelajar sebanyak 50 peratus. Ia bukan mudah, saya hanya pelajar tingkatan enam berusia 19 tahun.

“Saya mahu berundur kerana merasakan susah untuk berulang alik ke latihan tetapi mendiang JV Jayan yang selalu memberi semangat dan menasihatkan saya supaya tidak berputus asa. Saya cukup terhutang budi kepadanya, jika tidak kerananya, tidak mungkin saya pergi jauh dalam lapangan ini,” kata Nur Herman Majid yang merupakan seorang pegawai bank.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.