Olimpik 2020 : Beregu wanita, Farah Ann dan Welson Sim juga balik awal

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Cabaran Malaysia dalam dua daripada lima acara dalam sukan badminton di Sukan Olimpik 2020 berakhir, selepas beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mengalami kekalahan kedua dalam aksi peringkat kumpulan pada Ahad.

Mei Kuan-Meng Yean tewas dalam pertarungan tiga set 21-17, 15-2, 18-21 kepada beregu Jepun yang juga gandingan nombor satu dunia ketika ini, Fukushima Yuki-Hirota Sayaka dalam aksi Kumpulan A di Plaza Sukan Musashino.

Pasangan itu sebelum ini tewas dalam perlawanan pembukaan kepada kepada gandingan Indonesia, Polii Greysia-Rahayu Apriyani, 14-21, 17-21.

Terdahulu, cabaran negara dalam aksi beregu campuran Olimpik 2020 juga berakhir setelah gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mengalami kekalahan kedua di tangan gandingan Jerman.

Pasangan yang memenangi pingat perak di temasya Rio De Janeiro 2016 itu akan turun melengkapkan jadual perlawanan dalam aksi ketiga menentang pasangan nombor dua dunia, Wang Yilyu-Huang Dongping pada Isnin.

Kini tinggal cabaran dalam tiga acara sahaja iaitu Lee Zhi Jia (perseorangan lelaki); Soniia Cheah (perseorangan wanita) serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki).

Zhi Jia seperti diramal tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan dalam aksi pertamanya di pentas Olimpik apabila hanya mengambil masa 25 minit bagi menundukkan Artem Pochtarov dari Ukraine 21-5, 21-11.

Dia akan menentang pemain Perancis, Brice Leverdez dalam aksi kedua pada Rabu ini dan cabaran sebenar bagi juara All England itu hanya akan bermula di pusingan kalah mati.

Sementara itu, selepas dua hari bermulanya Sukan Olimpik 2020 secara rasmi, beberapa atlet negara nampaknya sudah pun mengakhiri cabaran termasuklah dua gimnas Jeremiah Loo dan Farah Ann Abdul Hadi, serta perenang Welson Sim.

Farah Ann gagal dalam usahanya melangkah ke pusingan akhir acara individu all around selepas sekadar menamatkan aksi pada pusingan kelayakan keempat di kedudukan ke-53 keseluruhan.

Jeremiah pula tersingkir lebih awal setelah menamatkan saingan acara individu all around di kedudukan ke-62 daripada 66 atlet yang bertanding, pada Sabtu.

Welson Sim yang gagal mara ke separuh akhir acara 400m gaya bebas pada Sabtu, turut gagal dalam acara 200m pada Ahad selepas mempamer prestasi yang jauh dari pencapaian terbaik peribadinya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.