Olimpik 2020 : Pendelela-Mun Yee tamatkan aksi di kedudukan tercorot

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Harapan besar rakyat Malaysia untuk menyaksikan kilauan pingat pertama negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020 berkecai setelah gandingan Pandelela Renong-Leong Mun Yee menamatkan saingan terjun 10m platform seirama di kedudukan tercorot.

Sebelum pertandingan, gandingan itu dianggap sebagai prospek pingat namun sebaliknya berlaku apabila masing-masing tidak dapat menampilkan terjunan konsisten walaupun bermula dengan baik dalam dua terjunan pertama.

Pandelela-Mun Yee mengutip keseluruhan 277.98 mata selepas lima terjunan sekaligus menduduki tangga kelapan dari lapan peserta final tatkala pingat emas menjadi milik gandingan cilik China, Chen Yuxi-Zhang Jiaqi dengan 363.78 mata.

Pingat perak pula dimenangi Jessica Parrato-Delaney Schnell (310.80 mata) dari Amerika Syarikat sementara pasangan Agundez Garcia-Orozco Loza (Mexico) memenangi pingat gangsa dengan kelebihan tipis ke atas Meaghan Benfeito-Caeli Mckay (Canada).

Keputusan itu juga bermakna Pandelela Renong gagal mempertahankan pingat perak yang dimenanginya di Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016. Ketika itu dia bergandingan dengan Cheong Jun Hoong.

Sementara itu, perkhabaran dari gelanggang badminton pula menyaksikan aksi membabitkan perseorangan wanita Soniia Cheah dibatalkan setelah lawannya dari Hungary menarik diri.

Manakala pasangan beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean menutup tirai saingan Kumpulan A pada Sukan Olimpik 2020 dengan kemenangan ke atas gandingan Great Britain, Chloe Birch-Lauren Smith dengan keputusan 21-19, 21-16.

Beraksi di Musashino Forest Sport Plaza, Mei Kuan-Meng Yean mudah mengatasi lawan mereka itu dalam tempoh 44 minit untuk menamatkan saingan di kedudukan ketiga kumpulan.

Gandingan Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu dan wakil tuan rumah, Sayaka Hirota-Yuki Fukushima menempah slot ke suku akhir selepas masing-masing mengungguli kedudukan dua teratas kumpulan.

Mei Kuan-Meng Yean tersingkir awal dari Olimpik 2020 setelah tewas aksi pembukaan menentang Polii-Rahayu 14-21, 17-21 sebelum kecundang kepada Hirota-Fukushima 17-21, 21-15, 21-8 dalam aksi kedua.

Perkembangan sukan pelayaran pula menyaksikan dua atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif masih berjuang dan belum tersingkir daripada saingan.

Khairulnizam yang beraksi dalam dua perlumbaan hari ini, menamatkan perlumbaan keempat di tempat ke-29 sebelum memperbaiki prestasi pada perlumbaan kelima dengan berada di kedudukan ke-18 daripada 35 pelayar di Olimpik Tokyo.

Secara keseluruhan dia ketika ini di kedudukan ke-29.

Nur Shazrin pula menamatkan perlumbaan kelima di tempat ke-30 sebelum mengakhiri saingan hari ini di tempat ke-34 dalam perlumbaan keenam.

Dengan berbaki empat perlumbaan, Nur Shazrin kini berada di tangga ke-24 daripada 44 pelayar dalam carta keseluruhan acara One Person Dinghy-Laser Radial Wanita.

Foto kredit : Majlis Sukan Negara/Kamarul Akhir

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.