Olimpik 2020 : Peng Soon-Liu Ying ucap selamat tinggal

Olimpik 2020 beregu campuran tersingkir awal
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menjadi wakil pertama negara dari sukan badminton mengucapkan selamat tinggal kepada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Peng Soon-Liu Ying tersingkir awal selepas tewas kali kedua, di tangan wakil Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich dengan keputusan 12-21, 15-21.

Kekalahan mereka mungkin tidak mengejutkan kerana pasangan berkenaan dilihat tidak meyakinkan sejak dari awal dan kerap hilang fokus sehingga gagal menterjemahkan tahap terbaik prestasi mereka.

Ini sekaligus menyaksikan gandingan itu gagal mengulangi sensasi yang dilakar di Sukan Olimpik 2016 di Rio De Janeiro apabila mara ke final dan pulang dengan pingat perak.

Pada hakikatnya sebelum bertolak ke Tokyo, Liu Ying dalam satu temuramah mengatakan boleh memberikan 200 peratus di Olimpik 2020 dan berkeyakinan boleh sekali lagi menghadiahkan pingat, tetapi apa yang diterjemahkan ternyata berbeza sama sekali.

Aksi di Plaza Sukan Mushashino menyaksikan Peng Soon-Liu Ying begitu banyak melakukan kesilapan terutamanya pada set pertama dan ketinggalan agak jauh sebelum tewas 12-21 dalam tempoh 18 minit.

Pasangan ranking ke tujuh dunia itu cuba untuk bangkit di set kedua bagi mengheret perlawanan ke set penentuan namun sekali lagi melakukan ‘unforce error’ yang dimanfaatkan sebaik mungkin Lamsfuss-Isabel Herttrich bagi melakar kemenangan 21-15 dalam tempoh 21 minit.

Terdahulu pada Sabtu, Peng Soon-Liu Ying tewas kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 18-21, 21-10, 16-21 dalam aksi sulung Kumpulan D.

Ini bermakna aksi berdepan pasangan nombor tiga dunia Wang Yi Lu dan Huang Dong Ping dari China pada Isnin akan sekadar menjadi perlawanan pelengkap jadual di Olimpik 2020 bagi Peng Soon-Liu Ying.

Foto ehsan : Majlis Sukan Negara/Annice Lyn

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.