Jika terus diberi kepercayaan, Brad Maloney mahu terus membimbing skuad B-23 negara di pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 dan membawa pasukan layak ke temasya sukan terbesar dunia itu buat pertama kali selepas 42 tahun.
Masa depan pengendali dari Australia itu masih samar berikutan tiada pencapaian untuk dibanggakan -sepanjang 2022 – tersingkir awal dari Piala AFF B-23 selepas dua kali diaibkan Laos, sekadar layak ke separuh akhir Sukan SEA 2021 dan terbaru ‘bungkus’ awal di Piala AFC B-23 yang sedang berlangsung di Uzbekistan.
Bagi Brad Maloney, dia sudah sayangkan skuad ini yang dibimbingnya sejak tahun lalu, malah dia sebenarnya sudah bersama dengan pasukan ini lebih lama sebagai pembantu jurulatih sejak 2014 lagi.
Justeru, dia belum terfikir mahu melepaskan jawatan di atas kegagalan di Piala Asia B-23 dan akan duduk berbincang hati ke hati bersama Persatuan Bolasepak Malaysia mengenai masa depannya apabila kembali dari Uzbekistan nanti.
“Ya, saya rasa begitu (mahu membimbing pasukan di kelayakan Paris 2024). Terlintas di fikiran saya, sesuatu yang jelas mungkin perlu berbincang dengan pihak pengurusan sebaik sahaja kembali nanti,” ujar Brad Maloney.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga belum mahu mengulas mengenai kedudukan Brad, walaupun mengakui kecewa dengan apa yang disajikan pasukan negara, tewas 1-4 kepada Korea Selatan dan tewas pula 0-3 kepada Thailand.
“Pendapat saya mereka ada satu lagi perlawanan menentang Vietnam, jadi biarkan mereka habis dulu. Bila kita dapat laporan daripada dia nanti, saya rasa jawatankuasa yang sepatutnya akan buat keputusan.
“Biar mereka lawan dengan Vietnam, sudah tentu bukan saja peminat, saya pun kecewa. Biarlah saya komen nanti selepas saya dapat laporan daripada Brad Maloney.
“Kita akan buat tindakan sewajarnya demi untuk bola sepak negara. Jadi biarkan habis perlawanan mereka, tidak adil untuk saya memberi komen sekarang.
“Mereka masih ada dekat sana, sekurang-kurangnya biar mereka tunjukkan sesuatu lawan Vietnam walaupun kita sudah tidak layak ke suku akhir,” kata Hamidin.