‘Orang kata saya sudah tak boleh main, berat, ya saya akui saya buat kesilapan’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyokong bolasepak tanah air boleh dimaafkan jika mereka beranggapan karier Junior Eldstal sudah lama berakhir.

Mana tidaknya, selepas meninggalkan Johor Darul Takzim pada tahun 2018 sudah tiada khabar berita mengenainya, terus hilang dari radar sehinggalah namanya kembali kedengaran tahun ini apabila dia dikaitkan akan menyertai pasukan Kuala Lumpur City FC.

Dia akhirnya sah membuat ‘comeback‘ tetapi bukan di Liga Malaysia, sebaliknya menyertai pasukan Liga Thailand, Chonburi FC dan ketika ini sedang mencuri tumpuan dengan aksi bertenaga dan nampak gayanya sedang membina semula kariernya.

Baru-baru ini dia menjaringkan gol sulungnya bersama pasukan itu sekaligus memastikan Chonburi mencatat keputusan seri menentang Rayong FC.

Ini turut menarik perhatian ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe yang tidak menolak kemungkinan akan memanggil semula pemain berusia 30 tahun itu jika dia mengekalkan prestasi cemerlangnya bersama Chonburi.

Dan Junior Eldstal berpendapat dia telah membuktikan ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ sambil mengakui dia kurang berdisiplin ketika usia muda menyebabkan kariernya hampir jahanam terlalu awal.

“Ramai yang mengatakan saya sudah tidak boleh bermain lagi, masih berat, sudah tidak mampu mencapai prestasi terbaik lagi jadi ia memerlukan kegigihan dan usaha keras di luar padang untuk melakukannya.

“Saya banyak membuat kesilapan ketika muda terutama dalam hal berkaitan bola sepak, selepas perlawanan saya tidak menjaga aspek fizikal; pemakanan, tidak cukup rehat dan ¬†latihan. Apapun, bagus melakukan kesilapan ketika muda (sebagai pengajaran).

“Matlamat saya sebaik memutuskan untuk beraksi semula ialah bermain bersama Malaysia. Ia sebagai satu penghargaan yang besar apabila jurulatih (Tan Cheng Hoe) mempertimbangkan khidmat saya. Tetapi fokus saya ketika ini ialah menghabiskan liga dan Piala FA bersama Chonburi FC,” katanya kepada Astro Arena.

Sebagai rekod, Junior Eldstal dibawa masuk ke dalam skuad Harimau Malaya oleh Datuk K.Rajagobal dan kali terakhir dia menyarung jersi kebangsaan adalah pada tahun 2016.

Dia juga pernah membantu pasukan B-23 kebangsaan menjulang Pestabola Merdeka pada 2013 di mana dia menjaringkan satu gol dalam kemenangan di aksi final menentang Myanmar.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.