‘Orang Luar Tak Tahu Apa Sebenarnya Yang Berlaku’ – Faisal Halim

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain sayap Faisal Halim jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan kegagalan skuad Harimau Malaya mara lebih jauh dalam saingan Piala AFF 2020.

Sudahlah terlepas tiga perlawanan pertama gara-gara positif Covid-19, satu-satunya penampilan Faisal Halim iaitu dalam aksi terakhir kumpulan menentang Indonesia pula menyaksikannya gagal membantu skuad negara dari diaibkan dengan kekalahan 1-4, sekaligus Harimau Malaya ditunjukkan jalan keluar.

Pemain Terengganu FC itu mengakui kegagalan tersebut memberi kesan mendalam apatah lagi ia mengundang kecaman hebat daripada penyokong tetapi menegaskan tidak adil untuk mereka dihakimi tanpa memahami situasi.

“Persiapan yang membuat kami kalah. Bila kalah, orang akan ‘bantai’ jurulatih dan pemain tapi orang luar tidak tahu apa sebenarnya (yang berlaku). Kena ada persediaan, kami bukan ahli silap mata.

“Mana pasukan yang berlatih enam hari kemudian mendapat kejayaan. Kalau pergi sekadar menjadi pelengkap (jadual), orang hanya akan maki hampir sahaja, baik saya tidak payah pergi.

“Saya tidak kisah tiada cuti untuk keluarga, janji dapat berbakti untuk negara. Saya memang kecewa dan tidak boleh terima kekalahan ini,” katanya di Nadi Arena.

Skuad negara bertandang ke Piala AFF 2020 dengan keyakinan tinggi boleh layak ke final buat kali kedua berturut-turut di sebalik persiapan penuh kepincangan.

Bukan sahaja tidak dapat mengumpulkan pemain terbaik kerana kecederaan serta pelbagai kekangan lain, malah kesemua pemain hanya dapat melaporkan diri pada 1 Disember gara-gara saingan Piala Malaysia yang berakhir pada 30 November.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bermula dengan baik menang 3-1 ke atas Kemboja dan 4-0 ke atas Laos, namun kemudiannya longlai apabila tewas 0-3 kepada Vietnam dan dimalukan 1-4 oleh Indonesia.

Sementara itu, pemain pertahanan yang berpangkalan di Eropah, Dion Cools pula menyatakan mahu segera melupakan episod malang di Singapura dan berharap Harimau Malaya bangkit sebagai pasukan lebih kuat selepas ini.

“Masih satu penghormatan besar yang kami pelajari sebagai satu pasukan, dan kami akan kembali lebih kuat,” katanya ringkas di Instagram miliknya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.