Owen Teo Nafi Ditawar Beraksi Bersama China

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain muda berdarah kacukan China-Malaysia, Owen Teo menafikan dia telah mendapat tawaran untuk beraksi dengan skuad kebangsaan China.

Owen Teo yang berasal dari Pulau Pinang baru-baru ini memuatnaik status di instastory seolah sedang mempertimbangkan mahu bermain dengan Harimau Malaya atau China jika diberi pilihan.

Ini berikutan ada pihak dari negara tembok besar itu sedang memantau perkembangan malah telah menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung dirinya.

Tetapi dia masih setia menunggu peluang untuk menyarung jersi Malaysia meskipun tiada minat ditunjukkan Persatuan Bolasepak Malaysia dan jika perlu menunggu terlalu lama, dia mungkin akan menerima tawaran China.

“Saya sudah beritahu semua bahawa keutamaan adalah untuk menyarung jersi Malaysia namun jika terlalu lama tak guna untuk tunggu lagi.

“Ada salah faham, saya bukannya ditawarkan untuk beraksi bersama China cuma mereka ada bertanya mengenai beberapa perkara terutama berkaitan status terkini ketika ini.

“Jika diikutkan, saya perlu menjalani sesi pemilihan yang akan dipantau oleh barisan kejurulatihan mereka sebelum ditawarkan beraksi bersama skuad kebangsaan,” katanya kepada Arena Metro.

Dalam pada itu, Owen Teo yang bakal menyertai kelab Croatia NK Precko Zagreb juga terkilan kerana terdapat segelintir pihak meninggalkan komen perkauman berhubung apa yang dinyatakannya itu.

“Saya berbangga sebagai rakyat Malaysia dan sentiasa bersedia memberikan komitmen tinggi jika diberikan peluang mewakili negara. Cuma agak sedih apabila ada segelintir pihak yang salah tafsir status berkenaan kerana sehingga kini saya masih menunggu panggilan skuad kebangsaan,” katanya.

Sebagai rekod, Owen Teo sebelum ini pernah beraksi bersama salah satu akademi terkenal iaitu Frenz United dan Brooke House College sebelum menyertai Pulau Pinang.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.