Pada usia 40 tahun, Amri Yahyah ledak gol voli akrobatik bikin ramai terkesima

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain paling veteran Liga Malaysia 2021, Amri Yahyah terus mengganas, kali ini meledak dua jaringan ketika membenam Melaka United 3-1 di Stadium Likas pada Rabu sekaligus mengumpul jaringan keempat peribadi dalam tiga perlawanan terakhir.

Lebih mencuri tumpuan, adalah jaringan keduanya pada perlawanan itu yang membuatkan ramai terkesima, di mana dia melakukan tendangan voli akrobatik yang menerjah gawang kawalan Norazlan Razali pada minit ke-47.

Jangan tak tahu, Amri Yahyah pada tahun ini berusia 40 tahun dan baru sahaja memecahkan rekod sebagai penjaring tertua Liga Super selepas menjaringkan gol ketika seri 2-2 menentang Selangor FC pada 23 April lalu.

Dia kemudian meledak satu gol ketika menewaskan Perak FC 2-1 dan membuka tirai jaringan seawal minit keenam menentang Melaka United.

Ternyata, bisa Amri Yahyah belum berkarat dimamah usia, malah semakin menjadi-jadi, dan pengendali Sabah FC Kurniawan Dwi Yulianto tidak terlepas dari mengalungkan rasa kagum terhadap bekas kapten pasukan kebangsaan itu.

“Amri ini umur sahaja 40 tahun, tetapi dia tahu bagaimana mahu menggunakan tenaganya untuk menyesuaikan diri dengan kelajuan permainan, dia tidak mengerah tenaga sewenang-wenang tetapi bijak dan efektif. Dia bisa menjadi game changer.

“Sebelum perlawanan saya selalu berkata kepada Amri, kamu lakukan yang terbaik, berikan 100 peratus yang kamu bisa walaupun 20 minit atau 30 minit, bagi kami itu cukup. Bukan kita mahu expect dia main 90 minit kerana itu akan meletakkan tekanan ke atasnya.

“Kita tahu umurnya serta kita memberitahu Amri untuk cuba beraksi secara maksimum untuk 45 minit, kita akan tukar kerana masih ada perlawanan bertemu Kedah dengan masa untuk recovery hanya dua hari, ia pastinya berat untuk Amri sendiri,” kata Kurniawan.

Dalam perjalanan karier lebih dua dekad di Liga Malaysia, Amri Yahyah bermain 13 musim bersama Selangor FC dan menjulang kesemua kejuaraan peringkat domestik sebelum berhijrah ke Johor Darul Takzim pada 2014.

Dia menambah tiga lagi kejuaraan Liga Super serta medal kejuaraan Piala AFC dalam koleksi, sebelum berhijrah pula ke Melaka United selama semusim sebelum kembali ke Selangor pada 2018.

Amri Yahyah kemudian menyertai Sarawak United pada 2020, sebelum direkrut Sabah FC untuk saingan musim ini.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.