Padah langgar perjanjian, Barcelona berdepan saman!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pengurus Barcelona, Quique Setien mengumumkan mengambil tindakan undang-undang ke atas kelab itu berikutan kegagalan mereka mematuhi terma di dalam kontrak selepas bertindak memecatnya pada bulan lalu.

Setien dilantik sebagai pengurus Barcelona pada Januari sebagai pengganti kepada Ernesto Valverde tetapi disingkirkan selepas pasukan gergasi LaLiga itu menamatkan musim dengan tangan kosong selain mengalami kekalahan 8-2 kepada Bayern Munich dalam aksi suku akhir Liga Juara Eropah – kekalahan terburuk dalam sejarah kelab itu.

Dalam kenyataan bersama oleh Setien dan tiga bekas pembantunya – Eder Sarabia, Jon Pascua dan Fran Soto – yang disiarkan The Sun, Setien mendakwa dia hanya menerima notis bertulis berhubung pemecatannya pada 16 September, selepas dipecat pada 17 Ogos.

Dia juga memberitahu mereka berempat tidak ada menerima sebarang pampasan dari Barcelona setelah lebih sebulan dipecat.

Kenyataan sama itu bagaimanapun menyatakan Sarabia, Pascua dan Soto ditawarkan ‘kemasukan semula’ ke kelab itu pada masa akan datang.

“Selepas genap sebulan Lembaga Pengarah Barcelona berdiam diri dan selepas pelbagai tuntutan daripada pihak kami, kami tidak menerima sebarang maklumbalas daripada kelab sehinggalah menerima satu surat pada semalam (Khamis) menerusi burofax.

“Surat itu menyatakan dengan jelas bahawa kelab tidak mahu mematuhi kontrak yang kami tandatangani pada 14 Januari 2020.

“Mengambil kira semua semua yang dinyatakan, kami merasakan ada keperluan untuk peguam kami cuba mencari solusi berhubung konflik ini dan mengambil tindakan undang-undang yang wajar, dalam usaha untuk memelihara dan memperjuangkan hak kami serta segala apa yang telah dipersetujui dengan Barcelona sebelumnya,” kata kenyataan itu.

Barcelona mengambil pendekatan tidak memberi respon kepada dakwaan tersebut.

Dakwaan Setien ini nampaknya menambah tekanan ke atas Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu yang ketika ini goyah kedudukannya susulan tindakan sekumpulan ahli kelab mengusulkan undi tidak percaya ke atasnya.

Kumpulan menggelar diri mereka sebagai ‘Mes Que una Mocio’ itu dilaporkan berjaya mengumpul sebanyak 20,687 tandatangan yang sah sebagai sokongan untuk membuka referendum bagi menyingkirkan Bartomeu dari Barcelona.

Sumber : The Sun, Kredit Foto : Google

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.