Jangan bimbang dengan kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil, itu jaminan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) setelah gelanggang itu dipilih sebagai venue aksi final Piala FA pada 10 September nanti.
Setelah lama berteka-teki, Malaysian Football League (MFL) pada Selasa mengumumkan Stadium Nasional sebagai gelanggang final edisi ke-31 yang mempertemukan Johor Darul Takzim dan Terengganu.
“Antara elemen yang menjadi perhatian MFL adalah keadaan padang SNBJ dan kami mendapat jaminan daripada PSM bahawa mereka komited dan akan memastikan penjagaan padang di tahap terbaik menjelang aksi kemuncak itu nanti.
“Buat masa ini, SNBJ satu-satunya stadium yang mampu memuatkan 80,000 penyokong dalam satu-satu masa dan berada dalam keadaan yang selamat untuk digunakan. Ini amat penting kerana kita tahu permintaan penyokong kedua-dua pasukan amat tinggi untuk menyaksikan final di stadium,” kata CEO MFL, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan.
Timbul beberapa keraguan mengenai keadaan padang Stadium Nasional sehinggakan beberapa pasukan mengkritik secara terbuka mengenai kualitinya.
Malah, insiden pekerja stadium mengeluarkan air yang bertakung secara amatur menggunakan penyodok sampah ketika aksi pusingan kelayakan Piala Asia 2023 masih lagi segar dalam ingatan ramai tetapi insiden memalukan itu dijamin tidak akan berulang.
Menurut CEO Perbadanan Stadium, Faidz Sanusi dipetik dari BH Sukan, “Bagi pihak PSM kami amat mengalu-alukan kerjasama dengan MFL bagi penganjuran perlawanan akhir ini yang secara tidak langsung mengukuhkan lagi jenama Stadium Nasional sebagai hub sukan terbaik negara.
“Dalam memastikan kelancaran penganjuran final Piala FA itu, sudah pasti pihak PSM akan mengambil langkah-langkah tertentu dalam memastikan fasiliti di stadium di tahap terbaik termasuk juga keadaan padang.
“Sejak penganjuran pusingan kelayakan Piala Asia, Jun lalu, padang Stadium Nasional sudah tidak digunakan untuk sebarang aktiviti bola sepak dan dalam masa ke semasa kita akan menjalankan kerja penjagaan padang menjelang perlawanan akhir itu nanti,” katanya.