Pahang akan hantar JDT pulang kecewa

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Meskipun persiapan sedikit terganggu dengan masalah kekurangan dan kecederaan pemain selain prestasi goyah dalam aksi persahabatan, ia tidak membunuh semangat dan keyakinan di kem Pahang.

Skuad tok gajah sebelum ini tewas kedua-dua aksi persahabatan menentang Terengganu FC II dan Selangor II.

Mereka berdepan tugas getir apabila turun menentang Johor Darul Takzim dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur pada Jumaat ini, di mana skuad Harimau Selatan itu menang bergaya dalam dua aksi persahabatan menentang Uitm FC (8-0) dan PDRM FA (3-0).

Namun pemain pertahanan Faisal Rosli optimis Pahang mempunyai kekuatan setanding untuk menyaingi pendahulu liga itu seterusnya meraih tiga mata penting.

“JDT pasukan yang cukup sempurna tetapi motivasi di kem Pahang juga cukup bagus. JDT mengharungi aksi persahabatan dan persiapan lebih baik dari kita tapi kita tidak perlu gentar atau takut, sebaliknya percaya dengan kekuatan kita.

“Memang kita perlu meningkatkan banyak lagi aspek seperti persefahaman dan kecergasan, kita juga hilang pemain tetapi jurulatih (Dollah Salleh) pastinya ada perancangan beliau untuk hadapi situasi ini.

“JDT datang ke sini mahu menang dan mengukuhkan tempat teratas, tapi Pahang juga sudah bersedia untuk berikan prestasi terbaik. Kita sekarang masih ada peluang untuk kejar dan ini adalah peluang yang baik yang tidak harus dilepaskan,” katanya.

Dalam pada itu, penyerang import Dickson Nwakaeme berharap penyokong akan tetap menunjukkan memberi kata-kata semangat walaupun tidak dapat hadir ke stadium.

Ketika ini selepas empat perlawanan, JDT menghuni tangga teratas dengan 10 mata manakala Pahang di tangga keempat dengan enam mata.

Baki aksi Pahang selepas menentang JDT adalah Uitm FC (5 September); PDRM FA (12 September); Felda United (20 September); Kedah (26 September); Perak (3 Oktober) dan Terengganu FC (10 Oktober).

Liga hanya berlangsung satu pusingan sahaja disebabkan pandemik Covid-19 dan kemudiannya akan diteruskan dengan saingan Piala Malaysia yang berlangsung secara kalah mati membabitkan 11 pasukan terbaik Liga Super dan 5 pasukan terbaik Liga Premier.

Foto : Pahang FA

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.