Pahang bawa masuk Hafiz si ‘Kancil’ ganti Nik Shariff Haseefy

Foto ehsan : The Star Online
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sri Pahang FC nampaknya terus rancak memantapkan pasukan bagi musim 2021 apabila terbaru berjaya mendapatkan khidmat bekas kapten pasukan PKNP FC, Hafiz Ramdan.

Pemain dengan susuk tubuh kecil yang sinonim dengan panggilan ‘kancil’ itu cukup lincah di posisi sayap dan dilihat sebagai pengganti kepada dua pemain sayap yang meninggalkan pasukan, Gopi Rizqi serta Nik Shariff Haseefy Mohd Lazim.

Gopi Rizqi bakal menyarung jersi Sarawak United manakala Nik Shariff pula berkelana ke Lembah Klang untuk mewakili pasukan Selangor sementara seorang lagi pemain sayap, Mohamadou Sumareh telah lebih awal meninggalkan pasukan pada September lalu dengan membatalkan kontrak secara sebelah pihak dan dia semakin hampir untuk menyertai Johor Darul Takzim.

Hafiz Ramdan merupakan produk Piala Presiden Perak dan pernah bermain dengan skuad utama Perak selama tiga musim di antara 2015-2017, tetapi beberapa siri kecederaan berulang menyaksikan namanya tenggelam timbul dalam arena bolasepak tempatan.

Dia dipinjamkan ke PKNP FC (kini Perak II) bagi memulihkan prestasi pada baki saingan 2017 dan menjadi salah seorang pemain tonggak pasukan itu yang membantu mereka layak ke saingan Liga Super 2018 tetapi kemudiannya kembali bergelut dengan kecederaan.

Prestasi mengagumkan Hafiz turut menyaksikan dia pernah dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan oleh Tan Cheng Hoe pada 2019.

Pada 2020 Hafiz Ramdan direkrut semula oleh Perak namun tidak membuat penampilan bersama skuad Mehmet Durakovic yang menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat.

Sebagai rekod, Hafiz Ramdan adalah pemain kesembilan menyertai revolusi Sri Pahang FC selepas mereka terdahulu mendapatkan khidmat Lee Tuck, Sergio Aguero, Malik Mat Ariff, Ahmad Jadid Ilias, Shahrul Aizad Zulkifli, Baqiuddin Shamsudin, Ezanie Salleh dan Zharif Irfan Hashimuddin.

Secara asasnya, skuad Pahang 2021 boleh dikatakan sebagai sudah lengkap dan hanya menunggu dua lagi pemain import untuk dimuktamadkan namun sudah ada cakap-cakap mengatakan salah satu slot sudahpun diisi oleh pemain pertahanan dari Australia, Aaron Evans.

Sri Pahang FC yang menamatkan saingan Liga Super 2020 di tangga kelapan turut melantik ketua jurulatih baru iaitu bekas pengendali skuad kebangsaan Filipina Thomas Dooley tetapi nasib Dollah Salleh sama ada dipecat atau diberikan peranan lain masih lagi belum diumumkan.

Foto : TheStar Online

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.