Pahang mungkin destinasi seterusnya Lee Tuck

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas kontraknya tidak disambung oleh Terengganu FC, pemain import Lee Tuck kini sedang mempertimbangkan tawaran daripada beberapa pasukan Liga Malaysia yang lain.

Mendahului senarai, adalah satu lagi pasukan pantai timur, Pahang.

“Saya sedang mempertimbangkan tawaran yang sesuai buat saya termasuk buat keluarga juga, saya akan umumkan perkembangannya sedikit masa lagi tetapi buat masa ini belum boleh. Saya ada berbincang dengan Pahang dan kelab lain juga,” kata bekas kapten Terengganu FC itu kepada Astro Arena.

Selain Pahang, pasukan lain yang dilaporkan turut mengintai khidmat pemain kelahiran berdarah campuran England-Malaysia yang berpotensi ‘dinaturalisasikan’ itu adalah Kuala Lumpur, PJ City dan Kedah.

Lee Tuck dibawa masuk ke Liga Malaysia oleh Negeri Sembilan pada 2017 dan semusim kemudian dia berhijrah menyertai Terengganu FC dan bermain dengan sang penyu selama tiga musim.

Baca : Lee Tuck kongsi pengalaman berpuasa, kagum dengan rakan muslim

Pencapaian terbaik Lee Tuck bersama skuad bimbingan Nafuzi Zain itu adalah muncul naib juara Piala Malaysia 2018 dan pada tahun ini menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketiga, sekaligus layak beraksi di Piala AFC.

“Selepas tiga tahun di sini, saya berasa sedih memandangkan telah mengecapi sasaran (layak bermain di pentas Asia) selain teruja berpeluang menunjukkan kemahiran di peringkat antarabangsa. Namun, ia bagaikan dirampas.

“Saya sudah memainkan peranan membantu pasukan mencapai sasaran, namun tiada apa yang boleh saya lakukan. Saya menghargai detik ketika di sana, bukan mudah untuk seseorang pemain import dapat dikekalkan lebih dari tiga tahun,” ujarnya lagi.

Lee Tuck sebelum ini memberitahu dia masih berminat untuk menyarung jersi Terengganu FC tetapi perbincangan bersama pihak pengurusan menemui jalan buntu selepas dia dimaklumkan sudah tiada dalam perancangan.

Selain Lee Tuck, Terengganu FC membuat keputusan menggugurkan dua pemain import iaitu Dominique Da Sylva dan Faris Ramli manakala kedudukan Shanjar Shaakmedov dan Babacar Diallo masih lagi menjadi tanda tanya.

Jika pemain itu beraksi semusim lagi di Liga Malaysia musim depan, dia akan memenuhi syarat ditetapkan FIFA untuk dijadikan pemain naturalisasi dan boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan pada musim 2022, sekaligus mewakili Harimau Malaya.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.